Sunday 28 July 2013

Kad Ucapan Harijadi Quilling : Jauh di Mata Dekat Di Hati.

Teks : Mariatul Qiptiyah

Salam 19 Ramadhan. Selamat Berbuka semua. Buat kami di Bumi Kenyalang ini, alhamdulillah sudah selesai berbuka puasa. Malam ini berbukalah saya seorang diri. Petang tadi baru saja menghantar Encik Suami terbang ke Kuala Lumpur. Asalnya kami akan pulang bersama-sama hari Rabu nanti. Kita hanya mampu merancang Allah yang menentukan. Encik Suami perlu terbang pulang ke Kuala Lumpur lebih awal kerana panggilan tugas. Dan saya akan pulang sendiri nanti.

Di ambang saat-saat hendak berpisah sementara ini, hati terasa berat sekali. Jika boleh memang hendak turutkan saja Encik Suami sekali namun apakan daya saya juga terikat dengan kerja di sini. Cuti saya hanya akan bermula 2 hari lagi. Ini baru terpaksa berpisah 2-3 hari. Bagaimana kalau 2-3 tahun? Tidak sanggup rasanya. Kami ini penjawat awam persekutuan. Bila-bila masa salah seorang dari kami akan terima surat arahan berpindah ke mana-mana negeri seluruh Malaysia. Bagaimana jika itu terjadi? Keadaan ini dan memikirkan hal ini membuatkan tekad saya untuk menjadi seorang WAHM bertambah kuat. Insyaallah suatu hari nanti saya akan boleh mengikut Encik Suami ke mana saja. Jika tidak dapat pun itu adalah kerana perancangan dan persetujuan kami sendiri bukannya terpaksa kerana kekangan kerja begini. Ya Allah, makbulkanlah hajat hati kami ni. 

Sempena rasa rindu dan kasih sayang ini, saya ingin kongsikan Kad Ucapan Harijadi yang saya hasilkan sendiri buat Encik Suami pada tahun lepas. Sedikit unsur quilling diselitkan bagi menonjolkan sisi elegant kad. Cukup dengan latar kad yang bercorak timbul, kad ini tidak sarat. Amat sesuai untuk mereka yang bercitarasa tinggi dan ringkas.



Happy Birthday Kanda. 

Cinta Quilling. Ringkas dan Padat.

Dua rama-rama terbang berpasangan. 


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Thursday 25 July 2013

Quilling : Bunga Matahari Sangat Cantik...

Teks : Mariatul Qiptiyah

Bunga matahari sangat cantik
Kembang diwaktu pagi
Daunnya Hijau, Bunganya kuning
Memikat kumbang lalu..
Bunga Matahari sangat cantik
Dihalaman rumahku
Darinya pagi hingga ke petang
Tak jemuku memandang..



Salam 17 Ramadhan. Wah, tidak sabar rasanya menunggu masa balik kampung. Beruntunglah mereka yang tinggal berdekatan atau sememangnya tinggal di kampung. Namun, bagi orang yang jauh diperantauan macam saya, mood balik kampung berhari raya lebih nikmat terasa. Barulah lagu 'Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Sudirman terasa seronok dan bermakna di hati. 

Termasuk hari ini, tinggal lagi 6 hari saya akan mula bercuti dan pulang berhari raya. Berdebar juga memikirkan ini kali pertama Aidilfitri saya sebagai seorang isteri dan menantu. Tambah berdebar dan sedikit risau (takut sebenanrnya) apabila hari-hari persediaan sambutan hari raya dan Hari Raya Pertama di rumah mertua di Pasir Mas. Saya masih belum biasakan diri dengan keluarga dan kampung di sebelah suami memandangkan kali pertama dan terakhir saya di rumah Mama (mak mertua) adalah ketika majlis perkahwinan kami 3 bulan lepas. Harapan saya semoga saya tidak terlalu kekok nanti. Sejujurnya, seronok dan teruja juga hendak merasa suasana berhari raya yang baru.

Bagi menambahkan keseronokkan dan keceriaan kita pagi ini, saya perkenalkan Si Bunga Matahari yang ceria. Saya namakan hasil seni quilling ini sebagai Quilling di dalam bingkai. Ianya sangat sesuai dijadikan buah tangan, hadiah harijadi, hadiah hari guru dan hiasan meja. Jika suka, boleh juga digantungkan sebagai hiasan di dinding. 


Bunga Matahari yang sentiasa kembang ceria

Bunga matahari ini dihasilkan dengan teknik quilling 3 lapisan
untuk memberikan imej 3D kepada bunga.

Unsur 3D menghasilkan imej bunga yang lebih hidup dan segar.

Bagaimana? Tentu anda sudah rasa lebih ceria dan teruja kan? Jika berminat, boleh hubungi terus saya di ruangan komen blog ini atau emel terus di mariatulqiptiyahmdsah@gmail.com. Warna-warna ceria kelopak bunga boleh diubah mengikut kesukaan anda. Ingin tahu apa lagi yang boleh dilakukan dengan Bunga Matahari ini? Kad Jemputan Kahwin!!! Tentu sanak-saudara dan rakan-rakan anda begitu teruja menerima kad undangan yang sangat unik dan istimewa ini. Apa lagi, mulalah berimaginasi dan saya boleh bantu anda menrealisasikan idea kretif anda. :)

Salam sayang, Salam Ramadhan.

Mariatul Qiptiyah

Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
"Sharing is caring"

Tuesday 23 July 2013

Review : Kelas Asas Membuat Blog dan Penulisan

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum. Salam 15 Ramadhan. Alhamdulillah, sudah separuh bulan kita menjalani ibadah puasa. Berpuasa di Bumi Kenyalang ini tidaklah seseronok berpuasa di Semenanjung Malaysia bagi orang yang berasal dari sana seperti saya. Di sini tiada Pasar Ramadhan seperti di Tanah Semenanjung sana. Pasar Ramadhan yang paling besar pun hanya ada lebih kurang 25-30 buah gerai saja. Selera mereka pula mungkin memang tidak sama dengan selera kita. Namun, inilah peluang untuk kita merasa dan menimba pengalaman di tempat orang. 

Pelbagai kenangan dan pengalaman dilalui, bagaimanakah anda mengabadikannya? Secara tradisionalnya, masih ramai yang menulis dan menyimpan diari berbentuk buku fizikal. Ramai juga yang sudah menaip dan menyimpannya di dalam jurnal online atau jurnal maya seperti blog. Blog pula ada bermacam-macam bentuk mengikut citarasa dan tujuan blog tersebut dibina. Ada blog berbentuk penulisan jurnal, ada blog bergambar, ada blog perniagaan, blog berita dan bermacam-macam lagi. 

Saya sendiri telah mula berblog sejak tahun 2003 lagi. Blog saya pada masa itu berbentuk jurnal online. Seronoknya dan teruja dengan blog, boleh dikatakan setiap hari saya mengemaskini isi blog saya. Tambah-tambah seronok bila ramai yang membaca dan komen posting-posting saya.Melalui blog juga saya mengenali ramai kawan-kawan baru. Melalui blog jugalah saya memperolehi banyak maklumat-maklumat, ilmu-ilmu dan berita-berita terkini seluruh dunia. Jika kena caranya, banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari blog dan internet ini.

Namun, hari demi hari saya kehilangan semangat dan momentum untuk terus menulis. Saya juga sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk saya mendapat lebih manfaat daripada blog saya ini. Saya lihat ramai yang sudah dapat menjadikan blog mereka sebagai satu pendapatan. Saya juga ingin seperti mereka. Tapi bagaimanakah caranya?

Tertarik dengan kehidupan berkeluarga dan gaya penulisan hebat sepupu saya Khairunnisa Hamzahara, saya cuba-cuba bertanya apa rahsianya. Syukur, Nisa tidak lokek ilmu, tanpa jemu dia terus menerangkan dan meyakinkan saya untuk menyertai Kelas Asas Membuat Blog dan Penulisan kendaliannya. Walaupun pada awalnya saya merasakan diri saya hebat dengan pengalaman hampir 10 tahun saya berblog, namun terdetik juga dalam hati "Apa salahnya saya mencuba. Kadang-kadang kita merasakan diri sudah betul tetapi sebaliknya masih ada ilmu-ilmu yang tidak saya ketahui. Sekiranya saya sudah cukup pandai, kenapa saya masih tidak maju-maju dan peroleh kejayaan seperti orang lain? SAYA MESTI BUAT SESUATU!!!" 

Alhamdulillah, Allah telah tunjukkan jalan bagi saya. Dengan nama Allah dan hasil perbincangan dengan suami, saya sertai kelas ini. Saya buka mata, hati dan berlapang dada menimba ilmu cara-cara berblog yang sepatutnya. Dalam kelas ini, saya diajar cara-cara membina dan menyusun blog dengan betul. Gaya penulisan yang betul, yang dapat menarik perhatian dan kepercayaan pembaca seterusnya pelanggan berpotensi bagi perniaagaan atas talian nanti. Blog yang disediakan adalah gerbang asas perniagaan atas talian kita nanti.

Pembelajaran dijalankan secara atas talian (online) sepenuhnya oleh Nisa. Sungguhpun selain saya terdapat ramai lagi rakan-rakan kelas yang lain, namun Nisa masih mampu mengendalikan kelas ini dengan baik. Segala tunjuk ajar, perkongsian ilmu dan penyelesaian masalah dilaksanakan dengan sangat baik. Komuniti kelas ini juga sangat bermanfaat sebagai komuniti asas yang menyokong padu kepada pembinaan dan pengembangan blog kita. Jadi, kita tidak keseorangan. Alhamdulillah saya telah perolehi semangat berblog saya semula malahan jauh lebih baik dan bermanfaat dari dahulu. Bukankah itu yang kita mahu? Supaya hari ini lebih baik dari semalam dan  esok lebih baik dari hari ini.

Sekiranya anda berminat, maklumat lanjut boleh didapati di blog adinda sepupu saya yang comel lagi berkaliber ini; Khairunnisa Hamzahara. Masih ada kekosongan untuk kelas lagi. Siapa cepat dia dapat tau. Ingat, lapangkan dada, buka mata dan minda untuk menimba ilmu. Insyaallah Allah tunjukkan dan permudahkan jalan kejayaan bagi kita. 

Kelas dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya mengikut keselesaan dan jadual masa pelajar itu sendiri. Tiada dateline, tiada kelas jadual tetap, tiada punchkad.

Pakej juga termasuk E-Book Super WAHM, Super Mom. Apa itu Super WAHM, Super Mom? Inilah cita-cita saya nanti. Banyak ilmu yang diperolehi dari E-book ini. Saya akan kongsikannya di entry akan datang. Nantikannya!

Tepat pada masanya.
Pakej tambahan E-book Panduan Mula Bisnes Butik ini sangat bersesuaian dengan saya yang baru mula berjinak memulakan perniagaan jubah sacara online. 


Jadi, apa anda tunggu lagi? Kita tak kan tahu arah mana hendak dituju selagi kita tidak mulakan langkah pertama kita. Tetapkan hati, fikirkan kejayaan yang kita impikan baik didunia mahupun diakhirat. Semua itu tidak datang bergolek. Usaha tangga jaya. Chaiyo!!!

Insyaallah.

Salam Sayang, Salam Ramadhan, Salam Kejayaan.

Mariatul Qiptiyah

Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Monday 22 July 2013

Tutorial 1 : Peralatan asas Quilling

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum, Salam mesra salam ceria pagi 14 Ramadhan. Pejam celik pejam celik sudah hampir separuh purnama kita menjalani ibadah puasa. Terasa macam baru seminggu saja mula berpuasa. Sekarang ini saya rasa masa begitu cepat berlalu tanpa kita sedari. Bila direnung-renungkan semula, ada ketikanya kita asyik berehat-rehat dan terleka hingga ditinggalkan dek masa. Orang lain sudah maju ke hadapan, sudah merasa kenikmatan berjaya hasil usaha mereka dari awal. Sedangkan kita pula asyik berangan-angan dan berkalau-kalau saja. Ibarat pungguk rindukan bulan.

Sebut pasal bulan, Masyaallah...Indah sungguh bulan malam tadi. Walaupun belum betul-betul penuh mengambang, bulatannya sudah cantik, cahayanya berseri-seri. Asyik sungguh merenung keindahan ciptaan Allah itu. Panjang umur malam ini dapatlah kita menatap keindahan alam itu lagi. Insyaallah.

Hari ini saya hendak memperkenalkan anda dengan peralatan yang biasa saya gunakan untuk membuat quilling. Peralatannya mudah saja. Mudah didapati di mana-mana kedai alat tulis dan kedai-kedai kecantikan. Ehhh, kedai kecantikan? Ya, jangan terperanjat. Jom kita tengok.

Ini adalah peralatan asas membuat quilling. Mengikut sususan dari kiri ke kanan : Gunting,
jarum menggulung, gam, pisau, pembaris seni (bulat) pembaris dan kertas.
Ini adalah alat khas quilling. Ianya boleh didapati di kedai-kedai kraf seperti di One Utama.
Harganya tidak murah kerana ia diimport dari luar negara. Namun, amat sedikit kedai kraf
yang boleh didapati di Malaysia ini. Selalunya penggemar quilling akan pesan dari internet
Hujung alat ini ada besi yang dibelah dua. Belahan besi itu hanya muat untuk sehelai kertas.
Kertas diselitkan di besi dan digulung menjadi 'coil'

Kenal ini apa? Setelah 'try and error' pelbagai peralatan, saya selesa menggulung 'coil' menggunakan alat ini. Ya, jarum yang digunakan mencucuk jerawat. Jangan risau, jarum ini saya beli khas dari kedai bukannya diguna semula.
Inilah alat yang dibeli dari kedai alat kecantikan.

Bagi mereka yang baru hendak mencuba-cuba membuat quilling, cara ini boleh digunakan.
Caranya, ambil setangkai lidi buluh pencucuk satay, belah hujungnya sedikit seperti
dalam gambar menggunakan pusau yang betul-betul tajam.
Jika pisau tidak tajam atau tebal, hujung buluh akan pecah. 

Baiklah, sampai di sini dahulu Tutorial Siri 1. Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara-cara membuat quilling, bolehlah mencari alata-alat seperti yang saya sarankan. Saya akan ajar cara-cara asas quilling di tutorial yang akan datang. Jangan lupa sediakan dahulu peralatannya ya.

Salam Sayang, Salam Ramadhan.

Mariatul Qiptiyah

Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
 "Sharing is caring"


Sunday 21 July 2013

Logos Hope : Pesta Buku Terapung Terbesar Di Dunia :

Teks : Mariatul Qiptiyah
Rujukan : Logos Hope


Hari Pertama saya pergi dengan kawan pejabat, Yana. Saya berkata pada Yana
" Kita belum dapat naik bercuti atas cruise, kita dapat naik kapal parking ini pun jadilah"

Hanya satu tempat saja dalam Malaysia pada kali ini. Hanya di Kuching. Kali terakhir Kapal Logos Hope ini singgah di Malaysia pada 2011 iaitu di Port Klang, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.

Apa itu Kapal Logos Hope? Kapal ini merupakan sebuah kapal laut besar yang menempatkan Pesta Buku Terapung Terbesar di Dunia. Mengunjungi lebih 58 pelabuhan di 45 buah negara seluruh dunia dan membawa lebih 5000 tajuk buku. 400 orang krew kapalnya adalah sukarelawan dari negara-negara tersebut.

Logos Hope adalah organisasi sukarelawan yang membantu menyebarkan ilmu pengetahuan, bantuan dan harapan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan pelbagai peringkat golongan orang yang bermasalah di negara-negara yang disinggahinya. Dikatakan disebalik organisasi ini adalah sebuah organisasi sebaran ajaran sebuah agama yang kukuh dan bersungguh-sungguh dalam menyebarkan ajaran agama mereka. Ada beberapa rakan yang kongsikan pandangan mereka bertegas untuk tidak jejakkan kaki ke kapal ini. Pada saya pula, lawatan saya ke kapal ini adalah untuk menimba ilmu dan pengalaman, mengambil pengajaran dan iktibar dari mereka.

Saya terfikir, alangkah bagusnya sekiranya anak-anak muda kita mempunyai semangat dan dedikasi yang tinggi seperti belia-belia Logos Hope. Setiap kali belayar, berbulan-bulan lamanya kre-krew ini di atas kapal. Malahan makan tahun juga. Mereka juga sangat terlatih, profesional dan mesra. Sempat juga salah seorang dari mereka berkongsi cerita bagaimana susahnya sisi latihan keselamatan mereka. Mereka dilatih terjun dari kapal, berenang di lautan, mengendalikan 'live boat' terbalik dan sebagainya.Tidak sangka kecil-kecil belia wanita mereka cili padi.

Mari melawat Pesta Buku Terapung Yang Terbesar di Dunia ini bersama saya. :-




Hari pertama saya pergi air pasang besar. pitu masuk itu jadi setinggi
lebih kurang 2 tingkat bangunan. Hari kedua lawatan bersama suami,
air di pelabuhan surut. Pintu masuk hanya setinggi lebih kurang 1 meter. 

Saya tersilap memakai sandal bertumit tinggi ketika memanjat tangga ini.
 Aduhai....

Permulaannya, pelawat diberikan taklimat ringkas mengenai Pesta Buku ini.
Ruangan ini adalah replika 'Live Boat' seperti di kapal Titatic cuma ia lebih besar sedikit.
(Rasanya besar banyak)

Sesi taklimat ringkas Logos Hope. Jangan risau, tiada pelawat yang
perlu terjun ke laut.

Wajah-wajah sukarelawan dari seluruh dunia.

Ruangan pameran. Bahagian masakan adalah tumpuan saya.
Malangnya sangat terhad buku kraf yang dibawa sedangkan itulah matlamat utama saya ke sini.

Siap untuk berlayar :)



Replika bilik tidur para krew kapal.

Encik Suami sebagai Kapten Kapal.

Hampir sama kan?

Hanya 3 buah buku ini yang berkenan di hati. Sistem harga menggunakan sistem Unit.
100 Unit bersamaan RM 8.00. Harga buku-buku sekitar 100 unit hingga 500 unit.
Kebanyakkan buku adalah buku kanak-kanak, masakan, novel , pelancongan dan motivasi.
Hasil jualan disalurkan untuk aktiviti amal mereka membantu kanak-kanak
kurang bernasib baik seperti di Cambodia dan India.


Setiap kali sampai ke satu-satu tempat saya pasti mencari barangan kraf seperti ini.
Poskad ini adalah hasil tangan wanita-wanita pedalaman atau kurang bernasib baik di Philipines.

Maklumat Lanjut boleh didapati di Laman Web Logos Hope. Anda juga boleh melihat jadual pelayaran kapal ini, mana tahu ia akan singgah di tempat anda.

Salam Sayang, Salam Ramadhan.

Mariatul Qiptiyah


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Saturday 20 July 2013

Quilling Haiwan

Teks : Mariatul Qiptiyah

Assalamualaikum. Salam pagi 12 Ramadhan semua. Apa khabar pagi ini? Bersahur apa tadi? Semalam petang jiran sebelah rumah hantar 4 jenis lauk. Macam-macam ada; rendang daging ada, ayam masak kicap ada, telur rebus goreng dan Rebung Masak Lemak ala Sarawak. Masakan rebung adalah antara kegemaran saya. Lebih-lebih lagi rebung yang segar dipetik terus dari rumpunnya.

Di Kuching ini, rebung buluh merupakan antara sajian utama mereka terutama ketika kenduri kendara dan majlis perkahwinan.. Boleh dikatakan rebung terdapat di mana-mana pasar dan pusat-pusat jualan hasil kampung. Owh yer, rebungnya rebung segar tau. Mungkin kerana  rumpun-rumpuan buluh banyak terdapat di kawasan-kawasan kampung, hutan, dan belukar di Sarawak khususnya du Kuching ini.

Cukuplah dahulu pasal makanan ini kan. Hari ini saya nak kongsikan koleksi Quilling Haiwan-haiwan saya. Koleksi ini adalah antara percubaan awal ketika mula-mula berkenalan dengan quilling 2 tahun yang lepas. Rasanya sangat seronok bila percubaan kali pertama ini menjadi. Daripada percubaan ini, saya sudah berjaya hasilkan beberapa kad ucapan bertemakan haiwan kegemaran. Jika ada yang berminat, anda boleh memilih mana-mana haiwan dan warna kegemaran anda untuk diletakkan di atas kad ucapan, mini poster atau sebagai hiasan bilik anak-anak. Tentu bilik dan anak-anak bertambah ceria. :)

Koleksi Quilling Haiwan-haiwan Comel saya.

Love Birds.

Hello Mr. Crab.

Anak Kura-kura yang comel.



Cepat, buat tempahan anda segera sebelum haiwan-haiwan kegemaran anda ini lari. Heheheh.

Salam Sayang, Salam Ramadhan.

Mariatul Qiptiyah



Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Thursday 18 July 2013

Kad Mini Quilling

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum, Salam Sejahtera.

Bumi Kenyalang pagi ini dingin dengan simbahan gerimis sekejap-sekejap sejak 2-3 hari ni. Syukur Alhamdulillah, cuaca lebih baik dari musim jerebu lepas. Terasa lebih segar waktu keluar rumah pagi tadi. Sebelum pergi kerja sempat lagi siram-siram dan bermesra-mesra dengan pokok di halaman rumah. Kata orang, tumbuhan ni pun ada perasaan. kalau kita selalu bercakap dengan dia, pujuk dia tumbuh dan berbunga cantik-cantik, insyaallah cantiklah ia nanti. Seronokkan bila pokok-pokok yang kita tanam semuanya tumbuh menjadi. rasa mcam buat eksperimen pula.

Bercakap pasal pokok-pokok bunga, hari ini saya hendak kongsikan koleksi Kad Mini Quilling saya. Mengambil inspirasi dari bunga-bungaan, koleksi kad mini ini ada 3 corak bunga. Kad-kad quilling mini ini sesuai dijadikan poskad, penanda buku, koleksi, hiasan meja, dan bermacam-macam lagi.


Saiz kad mini ini lebih kurang 12cm tinggi x 7.5cm lebar.

Saya panggil bunga ini Pink Blowing Dendelion.

Dua Blowing Dendelion yang comel.

Little Red Tulips.
Bunga Tulip ini hanya sebesar kuku ibu jari tangan.

Purple Lavender. (errrr, ada ker lavender warna lain)

Pandangan dekat Purple Lavender.


Sekiranya anda ada bunga-bunga kesukaan yang lain, Insyaallah saya juga boleh abadikannya sebagai Kad Mini Quilling ini. Kalau anda tidak suka warna merah, boleh minta ditukar warna biru, hijau, kuning dan sebagainya. Tentunya kediaman atau meja anda lebih meriah dengan kad-kad mini ini. Boleh emel saya terus untuk permintaan dan tempahan. Jangan malu-malu yer :)

Salam Sayang, Salam Ramadhan.




Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita "Sharing is caring"






Wednesday 17 July 2013

Perkongsian Tazkirah Ramadhan

Teks : Mariatul Qiptiyah



Assalamualaikum.

Alhamdulillah baru saja selesai hadiri majlis tazkirah Ramadhan di pejabat ini. Tahun ini masuk tahun ke dua pihak jabatan mengadakan sesi tazkirah Ramadhan untuk semua kakitangan. Tazkirah diberikan oleh Ustaz-ustaz jemputan dari masjid-masjid sekitar Kuching. Alhamdulillah, seronok sangat dapat hadir majlis-majlis ilmu macam ni dan tambah-tambah seronok saya tidak mengantuk malahan mudah untuk mendengar dan faham isi kandungan tazkirah tu. Bila kita tanamkan minat dalam diri, Alhamdulillah menjadi.

Bukan apa, saya ini dahulunya pantang kalau dengar sebarang ucapan awam ini. Baik ceramah, tazkirah ataupun ucapan-ucapan memang tidak lepas dari rasa mengantuk malahan tertidur.Malu pun ada, terasa rugi pun ada. Alhamdulillah sekarang sudah beransur pulih.

Dalam tazkirah Ramadhan hari ini, saya dapat beberapa ilmu baru. Suka saya nak kongsikan di sini moga-moga jadi ilmu yang bermanfaat. Insyaallah kan.

1. Ustaz tu dahulunya rabun. Sekarang beliau sudah tidak bercermin mata. Tipsnya, bila pergi ke Mekah untuk umrah atau haji, tatap Baitullah itu sepuas-puasnya, sedalam-dalamnya. Lagi, amalkan minum jus lobak merah setiap hari.

2. Petua untuk Ibu-ibu yang punya anak lambat jodoh. Caranya pada malam-malam hari, Ibu duduk@berdiri mengadap pintu atau tingkap yang terbuka atau tertutup. Kemudian baca Bismillahirrahmanirrahim 1000x, azan, doa selepas azan, BERDOA mohon anak dipertemukan jodoh, kemudian baca Surah Al-Kauthar sebanyak-banyaknya.

3. Ada 5 jenis pahala kehadiran Solat Jumaat.
a. Saf yang hadir pertama awal pahala menyamai nilai seekor unta (RM8,000.00)


b. Saf yang hadir kedua awal menyamai nilai seekor lembu (RM3,500)


c. Saf yang hadir ketiga awal menyamai nilai seekor kambing (RM800.00)


d. Saf yang hadir keempat awal menyamai nilai seekor ayam (RM20)


e. Saf yang hadir selepasnya (geng tangga masjid ni) menyamai nilai sebiji telur ayam.


Hasil bacaan di internet ada yang menyatakan turutan awal itu seperti berikut :-

a. 8.00-9.00 pagi
b. 9.00-10.00 pagi
c. 10.00-11.00 pagi
d. 11.00-12.00 tengahari
e. 12.00 tengahari - azan pertama.

4. Pahala solat berjemaah di masjid bukan saja 70 (pahala solat di bulan Ramadhan) x 27 (pahala solat berjemaah). Malahan didarabkan lagi dengan jumlah jemaah pula. Kalau di Masjidil Haram ada 1-2 juta jemaah. Subhanallah, banyaknya pahala.

5. Qada' Puasa Ibu Mengandung dan Ibu Menyusukan anak :-

a. Jika Ibu Mengandung tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya sendiri Ibu wajib Qada' puasa sahaja.
b. Jika Ibu Mengandung tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya dan bayi dalam kandungan, Ibu wajib Qada' puasa dan bayar fidyah.
c. Sekiranya Ibu Menyusukan anak tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya, ibu wajid Qada' puasa sahaja.
d. Dan sekiranya Ibu Menyusukan anak tidak berpuasa kerana bimbangkan keduanya, wajib ibu itu Qada' puasa dan bayar fidyah.

Semoga perkongsiam ilmu ini dapat beri manfaat pada kita.
Semoga terus seronok dan semangat beribadah di Ramadhan ini.
Salam Sayang, Salam Ramadhan.
Happy Fasting :)




Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
"Sharing is caring"

Tuesday 16 July 2013

Bentuk Asas Quilling

Teks : Mariatul Qiptiyah




Assalamualaikum.

Hai hai hai! Apa khabar di Ramadhan ke 8 ini? Makin bersemangat atau sudah mula menghitung hari tibanya Hari Raya Aidilfitri. Ehhh, nanti dulu. Biarlah Ramadhan ini berlama-lamaan lagi. Inilah peluang kita mengaut sebanyak mungkin pahala. Teringat dahulu semasa bersekolah asrama, Ustaz kata kalau orang perempuan sedang uzur tidak dapat kumpul pahala dengan solat dan mengaji, pergilah tolong-tolong cuci toilet asrama, sapu-sapu sampah, kemas-kemas dorm. Itupun amal jariah, itu pun dapat pahala juga. Jadi seminggu dalam uzur tidaklah kosong terbiar sia-sia. Inikan pula kita kaum ibu yang sudah bergelar isteri. Semuanya ibadah, semuanya pahala asalkan ikhlas kerana Allah. Memandang wajah suami dengan kasih sayang pun dapat pahala. Apatah lagi menjaga makan pakainya, menghiburkan hatinya, mengemas rumah untuknya dan pelbagai lagi. Subhanallah!!!. Mudahnya kalau kita tahu caranya. Jadi, jangan rasa terbeban dengan Ramadhan. Kita mampu mengubah Ramadhan menjadi bulan mengutip pahala dengan seronok.

Panjang pula ceritanya. Berbalik kepada tajuk Bentuk Asas Quilling. Seperti yang saya terangkan dalam entry Apa Itu Quilling?, quilling adalah seni yang menggunakan jalur kertas yang digulung dan kemudiannya dibentuk menjadi bentuk-bentuk asas seterusnya dicantum-cantumkan menjadi pelbagai corak. Gambar di atas adalah bentuk-bentuk asas di dalam quilling. Menarik bukan? Nantikan entry saya seterusnya menerangkan apa yang boleh dihasilkan dengan bentuk-bentuk asas quiliing ini.

Salam sayang, Salam Ramadhan.

Mariatul Qiptiyah




Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
"Sharing is caring"

Monday 15 July 2013

Thursday 11 July 2013

Ramadhan dan Mengaji

Teks : Mariatul Qiptiyah



Selamat Sejahtera Semua....

Bersiaran dari rumah dalam keheningan pagi sementara menunggu azan Subuh selepas sahur tadi. Hari ini, Encik Suami rajin untuk bangun dan masak juadah bersahur. Kata Encik Suami, dia kasihan lihatkan saya tertidur lena keletihan. Jadi dibiarkan saja saya terus tidur sikit masa lagi. Syukur syukur, seorang sahabat berkata saya untung banyak perolehi suami yang ringan tulang dan pandai serba-serbi. :)

Alhamdulillah kita sudah memasuki hari ke 3 berpuasa di bulan Ramadhan. Semoga kita dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus menjalani ibadah puasa ini.

Bila tiba Ramadhan, ramailah yang mula mengaji atau membaca Al-Quran. Dan sejuklah mata memandang anak-anak kecil juga turut serta mengaji. Sejuklah perut ibu-ibu yang mengandungkannya.

Banyak juga masjid-masjid, institusi pendidikan dan masjid-masjid yang menganjurkan aktiviti tadarrus Al-Quran bagi mengimarahkan aktiviti ini. Saya juga tidak ketinggalan menyertai tadarrus di pejabat. Memang sangat seronok dapat mengaji beramai-ramai. Jika seronok dan bahagia ini boleh diibaratkan seperti bulan, maka apa yang saya rasa adalah bulan yang sedang mengambang penuh.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, terselit sebak dan sedih. Sebenarnya rasa ini sudah agak lama saya pendam. Hati sungguh sedih melihatkan rakan-rakan yang agak tidak fasih mengaji. Bukankah sepatutnya kebanyakkan dari kita ini boleh mengaji? Tetapi timbul tanda tanya dalam diri bila hanya kebanyakkannya adalah sebaliknya pula. Ada di antara mereka yang saya panggil makcik, malah ada yang sudah berstatus nenek. Para ibu apatah lagi ramainya. Mengapa? Mengapa jadi macam ni?

Bukanlah hendak membesar diri, tapi saya bersyukur sangat-sangat emak dan ayah amat menitik beratkan mengaji dan pembelajaran bacaan serta tajwid  sejak kami kecil lagi. Alhamdulillah, saya dapat mengaji dengan lebih lancar.

Keadaan ini membuatkan keinginan hati saya untuk menjadi WAHM semakin berkobar-kobar. Semakin menggebu-gebu. Ya Allah, saya berazam akan mendidik sendiri bakal anak-anak kami dari awal agar celik dan fasih Al-Quran. Janganlah Engkau biarkan daku lalai dan terlupa dalam mendidik anak-anak kami nanti sehingga menjadi sebegini.

Tidak sanggup rasanya bila membayangkan bakal anak-anak saya berada dalam keadaan tidak dapat membaca al-Quran. Terlalu takut. Tentunya mereka akan menuntut kepada kami ibu bapanya di akhirat nanti.

Alhamdulillah, saya lihat ramai ibu-ibu sekarang di kalangan rakan-rakan semakin menitik beratkan ilmu agama dan Al-Quran berbanding segelintir yang terlalu tertumpu kepada ilmu duniawi. Semoga semua ini memberi kesedaran dan semangat kepada kita untuk terus berusaha memperbaiki mutu diri dan keluarga seterusnya membangunkan ummah.

Salam Sayang dari saya di Bumi Kenyalang.

Mariatul Qiptiyah



"Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita"
"Sharing is caring"

Tuesday 9 July 2013

Hari Pertama Ramadhan

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum.
Salam 1 Ramadhan semua.

Ada apa dengan Si Anak Panda ini ya? Ya, mungkin beginilah keadaan kita ketika hendak bangun sahurkan. Apatah lagi Ibu-ibu dan Isteri-isteri yang bangun terlebih awal untuk menyediakan juadah bersahur. Jangankan kata anda semua, saya sendiri pun beginilah keadaannya. 'Alarm' di telefon bimbit sudah diset lebih awal namun ntah kenapa saya tidak dengar. Alhamdulillah ada Encik Suami tolong kejutkan. Alahai, rasa macam baru saja lelapkan mata sudah kena bangun semula.

Namun sebalik semua ini, banyak nikmat yang tersirat ketika bangun sahur ini. Nikmat sahur berdua dan bekeluarga. Nikmat lebihan masa senggang untuk selesaikan banyak perkara. Alhamdulillah, selepas subuh dapatlah kami berdua mengaji dan semak bacaan al-Quran masing-masing. Sempena Ramadhan ni lebihkan sikit masa mengaji. Jika sebelum ini hanya selepas Maghrib, ketika Ramadhan ni dapatlah masa sikit selepas Subuh sebab tidak bersarapan.

Kata orang, sebelum buat sesuatu lebih seronok dan lebih jiwa jika kita ambil mood dulu. Sebelum buat sesuatu keputusan dan langkah besar eloklah penuhkan ilmu di dada dan kuatkan semangat. Ya, luang masa yang ada juga membolehkan saya membelek-belek e-Book Super WAHM Super Mom hasil air tangan Kak Masayu Ahmad. Sebelum benar-benar melaksanakan cita-cita saya untuk jadi Super WAHM, haruslah ambil mood dan semangat dulu. Semangat biar kental baru langkah jadi kemas. Tidak begitu semua?

Sejak menyertai Kelas Asas Blog Online anjuran sepupu saya, sifu Nisa Nuar, sedikit demi sedikit 'passion' atau minat mendalam kepada seni kraft kertas datang kembali. Setelah bertungkus-lumus dan bergelumang dengan riben dan kertas untuk persiapan majlis perkahwinan saya April 2013 yang lepas, saya ambil keputusan berehat seketika dari aktiviti seni kraf. Malangnya, bak kata orang besi kalau dibiarkan lama-lama jadi berkarat. Aduhai, jadi susah pula hendak dimulakan semula. Syukur, dengan menyertai kelas ini idea-idea mula tercetus. Minat sudah datang kembali. Bunga-bunga quilling sudah bercambah. Harap-harap jari ini masih boleh menggulung dan membentuk dengan semakin baik.

Begitulah minat dan kemahiran yang Allah anugerahkan kepada kita. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan nak dapat sagunya. Belakang parang pun boleh tajam jika diasah. Jika tidak mencuba manakan kita nak tahu apa kebolehan yang kita ada. Begitu juga jika tidak diamalkan tentu semakin lama semakin lupa. Sayangnya jika bakat yang ada tersia-sia begitu saja. :)

Akhir kata, Salam Sayang Salam Ramadhan buat semua.
Semoga seronok dan bahagia menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini. Bila seronok insyaallah kita kuat dan semangat melaksanakan segala ibadah.

Mariatul Qiptiyah





"Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita"
"Sharing is caring"

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...