Saturday 29 June 2013

Kami TRW vs JDT

Teks : Mariatul Qiptiyah






Sudah beberapa kali rakan baik suami menjemput kami datang ke rumah bagi meraikan perkahwinan kami yang baru dilangsungkan April lepas. Namun beberapa kali itu jugalah terpaksa kami tangguh-tangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya, jemputan dapat kami penuhi lewat petang tadi.

Berbekalkan beberapa potong Roti Bawang Putih yang saya uli sendiri dan ketupat sotong air tangan suami. Ya, saya sangat bertuah kerana suami seorang yang amat meminati dan agak mahir dalam bidang masakan. Saya juga bersyukur suami ringan tulang sama-sama masuk ke dapur.

Kedatangan kami disambut meriah oleh Cik Din dan Kak Ayu serta anak-anaknya. Masing-masing sudah sedia menunggu untuk menjamu selera bersama kami. Wah, banyak sungguh hidangan yang disediakan oleh Kak Ayu. Paling menarik minat saya adalah Kek Coklat Cheese yang cantik lagi sedap ini. Jangan tak tahu semuanya Kak Ayu yang sediakan sendiri. Sejak mengenali Kak Ayu, saya mengkagumi bakat memasak Kak Ayu. Namun, bakatnya hanya terhad untuk hidangan keluarga dan rakan-rakan. Beliau mampu pergi jauh jika kena pada tempat dan caranya.

TRW vs JDT.  Itu yang tertera di atas kek bertemakan bola tersebut. Pada mulanya saya sangka kek tersebut adalah sempena perlawanan akhir Johan Era Piala FA di antara Johor dan Kelantan malam nanti. Kemudian saya tergelak kecil setelah menyedari antara lain maksud tulisan tersebut.

Suami saya berasal dari Pasir Emas, Kelantan. Saya pula berasal dari Batu Pahat, Johor. Kami berkenalan dan bertemu jodoh di Bumi Kenyalang ini. Kuasa Tuhan, rupanya jodoh kami bertemu di seberang laut ini. Subhanallah. Owh yer, berbalik kepada hal kek tadi, kebetulannya TRW vs JDT malam nanti ada kena mengena dengan kami. Simboliknya mungkin begitu.

Apapun, saya sangat berterima kasih kepada Cik Din dan Kak Ayu sekeluarga yang sudi menjemput dan meraikan kami. Sebenarnya jemputan ini di panggil Adat Jemput@Panggil Menantu di kalangan orang Kelantan. Saya akan menceritakan perihal Adat Jemput Menantu ini di entry yang lain. Sampai berjumpa lagi.

Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah



Friday 28 June 2013

Apa itu Quilling?

Teks : Mariatul Qiptiyah


Sejarah Quilling.

Quilling atau kertas kerawang adalah satu bentuk seni yang menggunakan jalur kertas yang digulung, dibentuk dan digam bersama untuk dijadikan satu reka bentuk hiasan. Jalur kertas digulung menjadi seperti ubat nyamuk atau 'coil' dan kemudiannya dibentuk menjadi pelbagai bentuk asas. Gulungan jalur kertas yang telah dibentuk disusun menjadi bunga, daun, binatang dan lain-lain.




Pada abad ke - 18, quilling menjadi popular di Eropah di mana ketika itu wanita golongan atasan dan bangsawan mempunyai banyak masa lapang. Quilling dianggap aktiviti yang tidak terlalu sukar dan berat untuk minda dan peribadi mereka yang lemah lembut.




Pada masa itu, hasil quilling banyak didapati sebagai hiasan2 di atas kabinet, di dompet, bingkai gambar dan cermin, kotak barangan kemas dan banyak lagi. Quilling juga digabungkan dengan teknik-teknik seni lain seperti sulaman dan lukisan.




Kraf ini telah melalui banyak perubahan selari dengan peredaran zaman dengan penggunaan teknik-teknik, gaya dan bahan-bahan yang baru. Quilling berdimensi pula mewujudkan hasil seni berbentuk 3D.



Hari ini, quilling menjadi semakin popular di kalangan peminat seni kraf dan tidak lagi terhad kepada golongan atasan. Hasil seni quilling semakin berkembang sehingga menghiasi kad-kad jemputan, kad-kad ucapan, penanda buku, cenderahati dan pelbagai lagi. Malahan, quilling boleh didapati di galeri seni di Eropah dan Amerika Syarikat.

Quilling adalah satu seni yang diamalkan di seluruh dunia.

Wednesday 26 June 2013

Salam Perkenalan Salam Ukhwah

Teks : Mariatul Qiptiyah



Assalamualaikum...

Salam sayang buat semua.

" Menulis masa ada jiwa dan rasa ". Itu pesan seorang sepupu yang saya kagumi semangat dan keperibadiannya. Melihatnya sekeluarga mencetuskan satu rasa ingin meningkatkan kualiti hidup yang semakin hari semakin menggebu-gebu dalam diri saya. Dengan jiwa dan rasa lahirnya entry pertama ini. Insyaallah...

Ingin menjadi seorang Isteri, Ibu, Anak, Kakak dan Sahabat yang ideal dan mantap menjadi cita-cita sejak saya mula mengenal erti ' Bahagia Dunia, Bahagia Akhirat'.

Dengan satu langkah kecil saya kira, lahirlah blog ini dengan Bismillahirrahmanirrahim dan restu suami demi untuk mencari bahagia kami di dunia dan akhirat. " Kanda, ini untuk kita. Ini usaha kita. Untuk hidup kita. Untuk bahagia kita kelak".

Perkenalkan nama saya, Mariatul Qiptiyah Md Sah...nama yang diberikan oleh mak dan ayah sempena nama Isteri Nabi Muhammad SAW. Nama yang saya kira unik dan saya banggakan. Nama ini juga yang sering buat teman-teman baru tergeliat lidah menyebutnya. Terasa keunikkannya.

Dilahirkan pada Februari 1981, di Batu Pahat Johor di kampung halaman emak. Dibesarkan di Tampin, Negeri Sembilan. Mula bersekolah di Pulau Sebang, Melaka dan bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tampin. Tampin adalah pekan dan sekarang menjadi bandar yang terletak di atas sempadan negeri di antara Negeri Sembilan dan Melaka. Jadi tidak hairan bila paginya saya bersekolah rendah di Negeri Sembilan dan petangnya bersekolah agama di Melaka.

Setiap adik beradik saya (8 orang), ayah akan masukkan kami di sekolah menengah berasrama. Bermula dengan saya yang sulong, masuk saja Tingkatan 1, saya sudah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Za'aba, Kuala Pilah. Selepas PMR, berpindah masuk ke sebuah sekolah berasrama penuh yang baru pada masa itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, Negeri Sembilan. Selepas satu penggal, saya ambil keputusan untuk pindah keluar dari SMKA Pedas ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin dan tinggal di rumah saja. Alhamdulillah dengan keputusan SPM yang tidak disangka-sangka cemerlangnya, saya berjaya masuk ke Universiti Putra Malaysia dan peroleh segulung Diploma Perhutanan 2 tahun setengah kemudian.

Alhamdulillah, murah rezeki saya, tidak sampai setahun graduasi, saya ditawarkan berkerja sebagai Penolong Pemelihara Hutan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Sehingga sekarang (2013), hampir 11 tahun saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Pengalaman dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Johor kemudian ke Pulau Pinang dan akhirnya di Bumi Kenyalang ini sering membuatkan saya berfikir sampai bila saya begini?. Dikelilingi fail-fail, surat-surat rasmi, mesyuarat-mesyuarat dan projek-projek besar terus membuatkan saya lemas dan semakin merasakan ini bukan dunia saya.

Perpindahan ke Bumi Kenyalang ini besar rahmatnya. Rupanya di sini jodoh saya menanti. Perkahwinan yang baru berusia 69 hari ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus berusaha menjadi insan lebih berkualiti. Syukur juga suami menyokong kuat hasrat saya untuk menjadi suri rumah sepenuh masa kelak. Bak kata suami " Redha Allah yang kita cari". Insyaallah.




Sementara itu, saya menyedari yang rupanya saya ini meminati Seni Kraf terutamanya berasaskan riben dan kertas. Semuanya bermula sejak 10 tahun yang lepas. Dengan membantu teman serumah membuat bunga telur dan menjahit labuci baju untuk majlis perkahwinannya sendiri, sedikit demi sedikit saya mula cuba membuat sendiri bunga telur untuk majlis perkahwinan adik dan sepupu-sepupu. Kadang-kadang ada juga mengambil tempahan dari kawan-kawan. Seronok juga rasanya.


2 tahun lepas, saya mula mengenali salah satu seni kertas dari internet iaitu Quilling. Sejak itu, membuat kad dan hiasan Quilling menjadi hobi saya. mengapa sekadar hobi? Kerana saya masih dalam kekangan masa bekerja di pejabat. Saya mengidamkan saya dapat mengembangkan hobi-hobi ini dengan lebih meluas seterusnya dapat membantu saya meningkatkan kualiti diri dan hidup kami sekeluarga.


"Sharing is Caring" adalah motto yang mula saya kenal sejak 2-3 tahun ini. Dengan motto ini, saya berharap blog ini dapat menjadi medan perkongsian ilmu dengan anda diluar sana. Dengan kraf, kita dapat mengekpresikan perasaan kita, mengembangkan daya kreativiti kita seterusnya meningkatkan taraf ekonomi dan kualiti hidup kita.

Semoga dengan cabang seni kraf ini, tercetusnya idea-idea dan keseronokkan hidup yang mungkin tidak kita sangka.

Salam Sayang buat semua.

Mariatul Qiptiyah.






Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...