Wednesday 26 June 2013

Salam Perkenalan Salam Ukhwah

Teks : Mariatul Qiptiyah



Assalamualaikum...

Salam sayang buat semua.

" Menulis masa ada jiwa dan rasa ". Itu pesan seorang sepupu yang saya kagumi semangat dan keperibadiannya. Melihatnya sekeluarga mencetuskan satu rasa ingin meningkatkan kualiti hidup yang semakin hari semakin menggebu-gebu dalam diri saya. Dengan jiwa dan rasa lahirnya entry pertama ini. Insyaallah...

Ingin menjadi seorang Isteri, Ibu, Anak, Kakak dan Sahabat yang ideal dan mantap menjadi cita-cita sejak saya mula mengenal erti ' Bahagia Dunia, Bahagia Akhirat'.

Dengan satu langkah kecil saya kira, lahirlah blog ini dengan Bismillahirrahmanirrahim dan restu suami demi untuk mencari bahagia kami di dunia dan akhirat. " Kanda, ini untuk kita. Ini usaha kita. Untuk hidup kita. Untuk bahagia kita kelak".

Perkenalkan nama saya, Mariatul Qiptiyah Md Sah...nama yang diberikan oleh mak dan ayah sempena nama Isteri Nabi Muhammad SAW. Nama yang saya kira unik dan saya banggakan. Nama ini juga yang sering buat teman-teman baru tergeliat lidah menyebutnya. Terasa keunikkannya.

Dilahirkan pada Februari 1981, di Batu Pahat Johor di kampung halaman emak. Dibesarkan di Tampin, Negeri Sembilan. Mula bersekolah di Pulau Sebang, Melaka dan bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tampin. Tampin adalah pekan dan sekarang menjadi bandar yang terletak di atas sempadan negeri di antara Negeri Sembilan dan Melaka. Jadi tidak hairan bila paginya saya bersekolah rendah di Negeri Sembilan dan petangnya bersekolah agama di Melaka.

Setiap adik beradik saya (8 orang), ayah akan masukkan kami di sekolah menengah berasrama. Bermula dengan saya yang sulong, masuk saja Tingkatan 1, saya sudah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Za'aba, Kuala Pilah. Selepas PMR, berpindah masuk ke sebuah sekolah berasrama penuh yang baru pada masa itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, Negeri Sembilan. Selepas satu penggal, saya ambil keputusan untuk pindah keluar dari SMKA Pedas ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin dan tinggal di rumah saja. Alhamdulillah dengan keputusan SPM yang tidak disangka-sangka cemerlangnya, saya berjaya masuk ke Universiti Putra Malaysia dan peroleh segulung Diploma Perhutanan 2 tahun setengah kemudian.

Alhamdulillah, murah rezeki saya, tidak sampai setahun graduasi, saya ditawarkan berkerja sebagai Penolong Pemelihara Hutan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Sehingga sekarang (2013), hampir 11 tahun saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Pengalaman dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Johor kemudian ke Pulau Pinang dan akhirnya di Bumi Kenyalang ini sering membuatkan saya berfikir sampai bila saya begini?. Dikelilingi fail-fail, surat-surat rasmi, mesyuarat-mesyuarat dan projek-projek besar terus membuatkan saya lemas dan semakin merasakan ini bukan dunia saya.

Perpindahan ke Bumi Kenyalang ini besar rahmatnya. Rupanya di sini jodoh saya menanti. Perkahwinan yang baru berusia 69 hari ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus berusaha menjadi insan lebih berkualiti. Syukur juga suami menyokong kuat hasrat saya untuk menjadi suri rumah sepenuh masa kelak. Bak kata suami " Redha Allah yang kita cari". Insyaallah.




Sementara itu, saya menyedari yang rupanya saya ini meminati Seni Kraf terutamanya berasaskan riben dan kertas. Semuanya bermula sejak 10 tahun yang lepas. Dengan membantu teman serumah membuat bunga telur dan menjahit labuci baju untuk majlis perkahwinannya sendiri, sedikit demi sedikit saya mula cuba membuat sendiri bunga telur untuk majlis perkahwinan adik dan sepupu-sepupu. Kadang-kadang ada juga mengambil tempahan dari kawan-kawan. Seronok juga rasanya.


2 tahun lepas, saya mula mengenali salah satu seni kertas dari internet iaitu Quilling. Sejak itu, membuat kad dan hiasan Quilling menjadi hobi saya. mengapa sekadar hobi? Kerana saya masih dalam kekangan masa bekerja di pejabat. Saya mengidamkan saya dapat mengembangkan hobi-hobi ini dengan lebih meluas seterusnya dapat membantu saya meningkatkan kualiti diri dan hidup kami sekeluarga.


"Sharing is Caring" adalah motto yang mula saya kenal sejak 2-3 tahun ini. Dengan motto ini, saya berharap blog ini dapat menjadi medan perkongsian ilmu dengan anda diluar sana. Dengan kraf, kita dapat mengekpresikan perasaan kita, mengembangkan daya kreativiti kita seterusnya meningkatkan taraf ekonomi dan kualiti hidup kita.

Semoga dengan cabang seni kraf ini, tercetusnya idea-idea dan keseronokkan hidup yang mungkin tidak kita sangka.

Salam Sayang buat semua.

Mariatul Qiptiyah.






2 comments:

  1. Salam... cantik...sy pun pernah buat tp yg simple jer utk anak2...kad hari guru..hahaha excited terlebih... nt bleh la wat entry cara2nya...itupun kalau bleh share la kan...

    ReplyDelete
  2. Irma Akmar : Terima kasih. Insyaallah, entry cara-caranya akan saya usahakan sedikit masa lagi.

    "Sharing is Caring"

    :)

    ReplyDelete

Sudi-sudikanlah ;)

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...