Wednesday 25 December 2013

Suri Rumah Sepenuh Masa dan Kreativiti

Teks : Mariatul Qiptiyah 
Gambar : Google



Assalamualaikum 
Salam Sejahtera.

Salam kedinginan pagi ini. Hampir sepanjang masa Bumi Kuching ini disimbahi hujan walaupun hanya gerimis. Alhamdulillah, hujan nikmat dari Allah. Janganlah kita mengeluh takut-takut mendustakan nikmat Allah pula.

Apa yang saya ingin kongsikan hari ini, berkenaan suri rumah sepenuh masa yang tidak mempunyai pendapatan sampingan. Tidaklah saya hendak merendah-rendahkan golongan ini. Tinggi hormatnya saya pada mereka kerana tabah dan kuat menghadapi karenah keluarga sepenuh masa dan tinggal di rumah saja. Berbanding dengan kami suri rumah separuh masa ini, ada juga waktu untuk keluar bekerja dan bertemu kawan-kawan.

Awal perkahwinan lebih kurang beberapa bulan yang lepas, saya telah suarakan hasrat untuk menjadi suri rumah sepenuh masa kepada suami dan keluarga. Reaksi emak dan mama mertua telah saya duga. Rugi kata mereka, sudah belajar dan bekerja bergaji tinggi hendak berhenti pula. Jika duduk rumah saja siapa hendak bagi duit? Mereka memberi contoh beberapa orang yang mereka kenal, menjadi suri rumah sepenuh masa tanpa buat apa-apa untuk dapatkan pendapatan sampingan. Hanya harapkan suami bekerja menanggung semua.

Masa itu, saya sudah ada jawapan saya sendiri. Pada mereka saya terangkan, Insyaallah saya tidak akan duduk rumah saja-saja. Akan saya usahakan berniaga kecil-kecilan dengan kemahiran dan minat saya yang tak seberapa ini. Saya boleh membuat bunga telur, hantaran dan quilling dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, reda sedikit gusar dan pertanyaan mereka.

Memang ada ahli keluarga dan kawan-kawan yang sebegini, bergelar suri rumah sepenuh masa tanpa pendapatan. Ada juga yang pernah luahkan pada saya, cemburu melihat saya punya duit gaji sendiri berbanding dia yang hanya harapkan suami memberi. Maaf, saya tak kata suri rumah sepenuh masa sebegini hanya duduk bergoyang kaki saja di rumah. Saya maklum banyaknya kerja-kerja di rumah itu, malah tidak dapat pula berehat-rehat mencuri masa menghadapi karenah anak-anak.

Saya rasa, apa yang diperlukan adalah sedikit KREATIVITI. Kreatif dalam menjana pendapatan sampingan tanpa perlu keluar rumah. Setiap orang pasti ada hobi dan minatnya tersendiri. Dari terbiar dan terkubur begitu saja, lebih baik dimanfaatkan dan mendatangkan hasil. Tidak kurang juga suri rumah ini terdiri dari golongan yang terpelajar. Gunakanlah ilmu di dada untuk menjana wang tambahan. Kita boleh mengajar mengaji, buka kelas tusyen atau ambil upah menaip atau menterjemahkan buku atau artikel.

Saya kira zaman sekarang setiap rumah mempunyai talian internet. Nah, gunakan talian ini sebagai hubungan anda dengan dunia luar dan jana pendapatan melaluinya. Masing-masing juga sudah ada tablet atau telefon pintar serta punya kemudahan internet. Apa lagi, gunakan sebaiknya. Ada berjuta-juta ilmu yang boleh diperolehi dari internet. Tinggal sedikit usaha kita saja untuk dapatkannya. Saya sendiri belajar sedikit-demi sedikit tentang kraf riben dan kertas melalui internet. Kita boleh gunakan medium ini untuk penuhkan ilmu di dada, asah kemahiran dan seterusnya jana wang anda sendiri dari rumah. Mudah bukan?

Sibuk di rumah bukan alasan. Semua itu memerlukan kemahiran dan kreativiti kita untuk menyusun jadual kerja di rumah. Di Akademi Bekerja Di Rumah tidak kurang bilangannya suri rumah sepenuh masa dan bekerja dari rumah. Kalau mereka boleh berjaya, kenapa tidak kita? Tidak tahu caranya, usaha dan cari ilmu buat bekal nanti. Bahagia, selesa, duit dan ilmu tidak datang bergolek. 

Mulakan langkah anda hari ini. Usaha, yakin, istiqomah, Insyaallah berjaya!!!

Salam Sayang..

Mariatul Qiptiyah

******************************************************************
350 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut

1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
4. Kelas penulisan kreatif

5. Kelas akaun bisnes wahm/soho, pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah ;)

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...