Monday, 1 July 2013

Sampai Bila Saya Nak Jadi Begini? Kisah saya 10 tahun yang lalu.

Share it Please
Teks : Mariatul Qiptiyah



10 tahun yang lepas, saya masih tidak tahu ke mana hala tuju hidup saya ketika itu. Yang ada hanyalah angan-angan untuk hidup senang dan bergembira.

Dengan latar belakang kelulusan Diploma Perhutanan yang saya ada, Alhamdulillah saya ditawarkan menjadi Kakitangan Kerajaan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Dalam hati berdebar-debar memikirkan inilah saat saya melangkah ke alam dewasa dan berdikari sepenuhnya. Selepas ini hidup saya semuanya terpulang kepada saya memandangkan saya sudah berkerjaya.

Pada masa itu, permulaan gaji yang saya terima tidak sampai RM1500.00 sebulan. Hidup di Kuala Lumpur sendirian benar-benar menguji kekuatan mental saya. Dengan gaji yang sebegitu serasanya tidak cukup. Rasanya sudah puas saya berjimat cermat. Sebelum hari gaji, saya sudah membuat kira-kira apa yang perlu dilunaskan setiap bulan. Sewa bilik, bayaran bulanan LRT, telefon, kad kredit, bil eletrik dan air. Itu senarai wajib saya. Setelah ditolak-tolak apa yang wajib, bakinya adalah untuk perbelanjaan makan minum dan tambang serta belanja sekiranya saya hendak pulang ke kampung. Apalah yang tinggal? Amaun baki yang tinggal selalunya membuatkan saya sedih dan sangat susah hati. Di mana cita-cita saya hendak memberikan wang kepada emak setiap bulan? Tiada yang dapat saya sisihkan untuk wang simpanan saya pula tu. 

Pernah saya mencuba menyimpan. Ikut kata emak, saya beli Sijil Simpanan Premium kerana dengan cara itu agak susah sikit saya hendak tunai dan gunakannya semula. Namun, tidak sampai akhir bulan saya kembali beratur di kaunter bank untuk tunaikannya semula kerana tidak cukup belanja. Bukan sekali dua juga kehabisan duit belanja sebelum sampai gaji seterusnya. Mujurlah saya menggunakan kad bulanan LRT untuk ke tempat kerja. Jadi jika tiada duit belanja makan pun saya masih boleh pergi kerja. Jika terlalu teruk, terpaksalah saya meminjam dari pakcik atau kawan-kawan pula. Tapi tiada sudahnya. Ibarat gali lubang tampal lubang juga.


Kenapa tidak minta saja dari mak ayah macam kawan-kawan yang lain? Bukan tidak ada kawan-kawan saya yang duit gajinya 100% untuk simpanan mereka dia saja. Yang lain masih dibiaya oleh mak ayah mereka seperti waktu belajar dahulu. Saya ini anak sulung dari 8 adik beradik. Masa itu, saya seorang yang sudah bekerja. Adik-adik yang lain masih belajar dan bersekolah. Tentu banyak belanja yang ayah saya perlu tanggung. Emak pula suri rumah sepenuh masa yang tiada pendapatan. Pernah sekali saya hulurkan sedikit duit pada emak namun mak tanya saya ada duit ke?. Emak suruh saya guna duit tu untuk belanja saya saja. Tidak dapat membantu emak dan ayah dengan duit yang banyak, apa yang saya mampu hanyalah dengan menjaga diri sendiri dan tidak minta duit ayah lagi. Belanja yang ayah terpaksa keluarkan untuk saya belajar dahulu bolehlah ayah gunakan untuk adik-adik pula.

Sejak itu, sering kali saya bertanya pada diri sendiri " Sampai bila saya nak jadi begini? " 
Sampai bila saya sentiasa tidak cukup duit begini? Tiap bulan pun begini. Rasanya macam tidak nampak jalan keluar dari masalah ini.

Di depan keluarga dan kawan-kawan saya pendamkan saja. Perit dan sedih saya tutup dengan ceria saya hinggakan kawan-kawan pejabat mengenali saya dengan watak ceria dan ramah. Sebaliknya saya masih tercari-cari hala tuju dan cara untuk keluar dari semua masalah ini. Namun dari hari ke sehari saya hanya mampu menunggu dan tetap juga jalani kehidupan saya selama bertahun-tahun itu dengan harapan satu kejaiban Tuhan akan terjadi dalam hidup saya.



No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...