Monday, 16 September 2013

Colourful Tulips : Warna-warni Tulip

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum semua. Apa khabar hari ini? Bagaimana cuaca di sana? Kuching pagi ini agak panas hinggakan tidak terasa dinginnya penyaman udara. Rasanya sudah agak lama saya tidak bercerita tentang produk quilling saya. Rindu pula rasanya. Kali ini, saya persembahkan antara karya terawal saya iaitu Warna-Warni Tulip. Tulip yang berwarna warni ini adalah permintaan dari seorang sahabat nun jauh di Kuala Lumpur. Katanya dia amat meminati bunga tulip dan inginkan sesuatu yang dia boleh letak sebagai hiasan di atas meja atau gantung di dinding. Jom kita menjamu mata. Kalau ada yang berkenan untuk dapatkan karya seperti ini, jangan segan silu hubungi saya. Insyaallah saya boleh buatkannya.





Sampai sini dahulu yer.
Salam Sayang, Salam Kreativiti.

Mariatul Qiptiyah

Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
 "Sharing is caring"

P.Ramlee The Tribute Concert : By Idris Sardi

Teks : Mariatul Qiptiyah 



Assalamualaikum. Apa khabar semua? Semoga sihat-sihat saja. Khabar Kuching minggu ini sibuknya luar biasa. Mata satu Malaysia sedang tertumpu ke Bumi Kenyalang sempena Jubli Emas Sarawak Merdeka Dalam Malaysia. Hari ini 16 September 2013, Hari Malaysia. Pelbagai acara yang diadakan sepanjang minggu ini seperti Majlis Doa Selamat di Masjid Negeri, Perarakan Bot Berhias di Water Front, Kuching, dan istiadat perarakan kontijen-kontijen pada pagi ini. Jangan terkejut acara-acara mengenang Allahyarham P.Ramlee ini juga termasuk dalam senarai aktiviti sempena Hari Malaysia ye. Khabarnya Ketua Menteri Sarawak amat meminati Seniman ini. 

Konsert ini berlangsung pada 13 September 2013 yang lepas di tempat yang sama teater P.Ramlee The Musical dipersembahkan iaitu di Borneo Convention Centre. Tiket adalah percuma namun orang ramai hendaklah dapatkannya terlebih dahulu di Rumah Sarawak. Dengar-dengarnya sebanyak 2000 tiket dikeluarkan untuk setiap satu acara. Konsert ini adalah konsert khas persembahan gesekkan biola oleh Idris Saidi diiringi oleh Kumpulan Okestra Sarawak.

Siapa Idris Saidi? Beliau adalah seorang pemain biola yang berasal daripada Jakarta, Indonesia. Mula bermain viola sejak berumur 9 tahun dan telah menjelajah seantero dunia dengan gesekan biolanya. Pada pendapat saya, persembahannya memang indah. Ditambah dengan 4 penyanyi latar utama iaitu 2 orang lelaki yang mempunyai suara saling tidak tumpah suara P.Ramlee dan 2 orang perempuan yang menyanyi ala-ala Saloma. Kagum seketika bagaimana mereka boleh mengalunkan suara sebegitu rupa. Secara keseluruhannya, konsert ini telah mengubat kekecewaan saya di P.Ramlee The Musical pada Selasa yang lepas. Saya juga gembira kerana dapat mengundang rakan sepejabat kami ; Kak Sabeth sekeluarga dan Aris serta isterinya Sarulina. Kalau persembahan malam ini turut mengecewakan seperti P.Ramlee The Musical tentu malu saya dibuatnya kerana kami yang beria-ia menjemput mereka.

Idris Saidi bersedia untuk persembahan. Dengan bangganya beliau berkain sarung iaitu setahu saya ia adalah pakaian tradisional mereka di Indonesia. 


Selepas konsert. Bergambar di hadapan pentas bersama Kak Sabeth dan anak bongsunya. 


Kekanda (Suami) sedang mengambil autograf Bapak Idris Saidi. Memang bapak ini sudah berusia kelihatannya. Umurnya sudah 75 tahun.

Bersama keluarga Kak Sabeth. 


Saya suka warna poster ini. Sama seperti warna tudung saya. 

Sampai sini saja dahulu yer. 
Salam Sayang, Sayang semua.

Mariatul Qiptiyah.



Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita "Sharing is caring"

Friday, 13 September 2013

Tutorial Siri 2 : Bentuk Asas Quilling 1

Teks : Mariatul Qiptiyah

Assalamualaikum. Salam Sejahtera semua. Alhamdulillah, hari ini siap juga entry Tutorial Siri 2 : Bentuk Asas Quilling sebagai perkongsian rakan-rakan pembaca yang berminat untuk mencuba sendiri membuat Seni Quilling ini. Saya mendapat banyak permintaan untuk belajar quilling ini terutamanya ibu bapa yang ingin beraktiviti bersama anak-anak mereka dan cikgu-cikgu yang ingin selitkan pembelajaran seni quilling dalam Pembelajaran Seni dan aktiviti lain di sekolah. Tidak kurang juga cikgu-cikgu yang ingin membuat sendiri quilling untuk hiasan kelas mereka.

Dalam tutorial kali ini, saya terangkan cara-cara membuat bentuk-bentuk asas di dalam quilling. Daripada bentuk-bentuk ini kemudiannya disusun menjadi pelbagai bentuk lain seperti bunga, pokok, binatang dan lain-lain lagi.



Di atas adalah bentuk-bentuk asas dalam Seni Quilling. Tetapi semuanya bermula dengan 1 bentuk iaitu bulat/bentuk ubat nyamuk/'coil'.


 1. Kertas-kertas A4 berwarna yang telah dipotong menggunakan mesin perincih (paper shradder). Jika tiada mesin, boleh juga potong kertas menggunakan gunting atau pisau secara menegak (A4 potret) dengan lebar setiap jalur sebanyak 3mm.

2. Letakkan hujung kertas di tool macam ni. Saya menggunakan jarum cucuk jerawat. Kalau tidak ada, boleh guna lidi satay yang dibelah hujungnya (rujuk Tutorial 1 ). Selain itu boleh juga guna hujung pensel tekan. Tidak ada juga? Boleh guna klip kertas, guna hujungnya tu.

3. Gulung kertas macam ni sampai habis satu jalur. Gulung ketat-ketat dan kemas lagi sekata sehingga menjadi satu 'coil'.

4.Langkah 2-4 adalah  untuk buat tight coil jadi, bila sudah siap gulung terus gam hujungnya macam ni. Gam ni dah terlebih, kurangkan gam tu supaya jangan banyak sangat hingga comot. Cukup-cukup untuk lekatkan hujung kertas itu saja.

5. Untuk buat coil yang longgar macam ni, lepas gulung2 tu (langkah 2 dan 3), lepaskan coil hingga dapat saiz yang dikehendaki. Tak payah gam yer. Macam mana nak ukur saiz coil? Ha, tengok bawah...

6. Untuk coil tertutup yang longgar, lepas gulung2 tu, lepaskan coil dalam pembaris ukuran bulatan macam di gambar. Lepas tu gam hujung kertas.

Baiklah, ini saja dahulu untuk kali ini. Insyaallah saya akan buat Tutorial untuk langkah-langkah dan bentuk-bentuk yang lain. Buat sementara itu, biasa-biasakan dengan bentuk tight coil dan close coil yer. Sampai jumpa lagi.

Salam Sayang, Salam Kretiviti. 

Mariatul Qiptiyah




Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita "Sharing is caring"

Wednesday, 11 September 2013

P. Ramlee The Musical... Sayang Seribu Kali Sayang

Teks : Mariatul Qiptiyah

Nota : P. Ramlee The Musical di persembahkan di Borneo Convention Centre pada 10 September 2013

Assalamualaikum...

Saya kira ramai yang berminat dengan Seni Teater terutamanya yang saya kelaskan sebagai Persembahan Berkelas Tinggi seperti Puteri Gunung Ledang, Natrah dan P. Ramlee The Musical. Persembahan-persembahan seperti ini biasanya dipersembahkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Ada apa dengan cerita teater ini? Begini, sebaik saja keluar dari hutan belantara di Kepulauan Borneo (ada macam filem Indiana Jones tak?) dan pulang ke Kuching, kami ternampak iklan berkenaan persembahan 
P. Ramlee The Musical ini. Kami fikir ini adalah sesuatu yang jika boleh jangan dilepaskan. Ini adalah persembahan yang julung-julung kalinya diadakan di Bumi Kenyalang (pada pengetahuan saya). Iklannya kelihatan menarik, barisannya pelakonnya menarik, tiket percumanya lebih-lebih lagi menarik. Antara barisan pelakon utamanya adalah Tony Eusoff (P. Ramlee), Tiara Jacquelina (Norizan), Elly Mazlein (Saloma), Nadia Aqilah (Junaidah) dan Azrul Zaidi (Sukardi iaitu sahabat baik P. Ramlee)?

Teater ini memgisahkan perjalanan hidup P. Ramlee bermula dengan penyebabnya berhijrah ke Singapura meninggalkan Pulau Pinang dan cinta hatinya Azizah. Di sana dia bertemu dan berkahwin dengan Junaidah, anak seorang pelawak yang ditemuinya di Malay Film Production. Walaubagaimanapun Junaidah pergi meninggalkannya kerana tidak tahan cemburu akan kepopularan suaminya. Di saat ini hadir Norizan yang berkorban hidup sebagai suri di istana dengan memilih berdamping di samping P. Ramlee. Ternyata Norizan seorang yang pandai menguruskan suaminya terutama perjalanan kerjaya P. Ramlee. Bintang P. Ramlee semakin bergemerlapan dengan Norizan di sisinya. Terlalu sibuk dengan kerja hingga tidak pedulikan isterinya menyebabkan Norizan curang dan penyebab perpisahan mereka. Akhirnya babak "When Remy Met Sally" adalah saat-saat berputiknya cinta antara P. Ramlee dan Saloma yang akhirnya menyatukan mereka hingga ke akhir hayat P. Ramlee. Akhirnya adalah kisah saat-saat namanya mulai pudar dan dilupakan.

Owh di sini adalah saat-saat saya kehilangan idea untuk menaip. Jadi kita lihat saja gambar-gambar yang sempat saya ambil ya.

P. Ramlee The Musical..Yahoooo!!!

Beratur hingga ke luar pintu masuk Borneo Convention Centre lebih setengah jam lamanya. Saya lihat ramai peminat tegar P. Ramlee yang saya kira hampir sebaya dengannya terpaksa berdiri berbaris begitu lama.

Sudah nak mula. Teruja!

Erk, kecilnya! Kenapa nampak kepala saja? P. Ramlee tu pun nampak tinggi sebab dia berada di atas pentas babak 'Pesta Bukit Mertajam'. Jika tidak memang nampak kepala saja. Sungguh kecewa.

Patutlah pelakon-pelakonnya nampak kepala saja. Tiada pentas rupanya. Bagi persembahan bertaraf tinggi, perkara sebegini tidak patut terjadi. Memanglah tiketnya percuma tetapi......hummm, entahlah ya.

Penggunaan 'props' memang sangat mengkagumkan. Penonton bersorak kagum apabila kepala keretapi ini meluncur masuk ke 'pentas'.
Majalah lama terbitan Allahyarham sendiri adalah antara bahan-bahan yang dipamerkan di ruang legar. Kami mengunjungi pameran ini selepas Babak ke 2 persembahan bermula. Pada mulanya kami memutuskan untuk pulang saja selepas Babak Pertama kerana malam sudah lewat dan keseronokkan menonton jadi pudar disebabkan hanya nampak kepala pelakon yang tinggi-tinggi saja. Selain dari itu, sistem bunyinya sangat cemerlang.


Poster-poster lama filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee. Ketika ini, saya lihat ramai juga yang beransur pulang walau persembahan belum berakhir. Tidak kurang juga yang keluar berlegar-legar di luar dewan.



Hari sudah lewat malam. Kami mahu pulang. 13 Sept. 2013 nanti kami datang lagi untuk P. Ramlee The Tribute Concert oleh Idris Sardi. Semoga ia boleh mengubat kekecewaan malam ini.

Sampai sini saja dahulu ya. Salam Sayang...

Mariatul Qiptiyah.


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Monday, 9 September 2013

Ambillah Gambar, Simpanlah Memori

Teks : Mariatul Qiptiyah
'Kelopak'
(Semasa dalam pembikinan kad jemputan quilling Majlis Perkahwinan 
kami sendiri. Saya buat bahagian bunga, suami
 (pada masa itu masih Encik Tunang) buat bahagian daunnya)

Apabila anda berniat atau sedang membuat sesuatu secara DIY seperti persediaan Majlis Perkahwinan, atau kad ucapan buatan tangan, atau bunga telur buatan tangan atau apa saja yang anda buat sendiri, jangan lupa ambil sebanyak-banyak gambar. Gambar tempat, alatan, pembuatan langkah demi langkah dan orang atau anda sendiri semasa pembikinan untuk mengabadikan memori-memori indah semasa proses tersebut. Hasilnya, anda pasti tersenyum senang ketika membelek-belek foto-foto itu kelak.

Salam Sayang, Salam Kreativiti.

Mariatul Qiptiyah


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Sunday, 28 July 2013

Kad Ucapan Harijadi Quilling : Jauh di Mata Dekat Di Hati.

Teks : Mariatul Qiptiyah

Salam 19 Ramadhan. Selamat Berbuka semua. Buat kami di Bumi Kenyalang ini, alhamdulillah sudah selesai berbuka puasa. Malam ini berbukalah saya seorang diri. Petang tadi baru saja menghantar Encik Suami terbang ke Kuala Lumpur. Asalnya kami akan pulang bersama-sama hari Rabu nanti. Kita hanya mampu merancang Allah yang menentukan. Encik Suami perlu terbang pulang ke Kuala Lumpur lebih awal kerana panggilan tugas. Dan saya akan pulang sendiri nanti.

Di ambang saat-saat hendak berpisah sementara ini, hati terasa berat sekali. Jika boleh memang hendak turutkan saja Encik Suami sekali namun apakan daya saya juga terikat dengan kerja di sini. Cuti saya hanya akan bermula 2 hari lagi. Ini baru terpaksa berpisah 2-3 hari. Bagaimana kalau 2-3 tahun? Tidak sanggup rasanya. Kami ini penjawat awam persekutuan. Bila-bila masa salah seorang dari kami akan terima surat arahan berpindah ke mana-mana negeri seluruh Malaysia. Bagaimana jika itu terjadi? Keadaan ini dan memikirkan hal ini membuatkan tekad saya untuk menjadi seorang WAHM bertambah kuat. Insyaallah suatu hari nanti saya akan boleh mengikut Encik Suami ke mana saja. Jika tidak dapat pun itu adalah kerana perancangan dan persetujuan kami sendiri bukannya terpaksa kerana kekangan kerja begini. Ya Allah, makbulkanlah hajat hati kami ni. 

Sempena rasa rindu dan kasih sayang ini, saya ingin kongsikan Kad Ucapan Harijadi yang saya hasilkan sendiri buat Encik Suami pada tahun lepas. Sedikit unsur quilling diselitkan bagi menonjolkan sisi elegant kad. Cukup dengan latar kad yang bercorak timbul, kad ini tidak sarat. Amat sesuai untuk mereka yang bercitarasa tinggi dan ringkas.



Happy Birthday Kanda. 

Cinta Quilling. Ringkas dan Padat.

Dua rama-rama terbang berpasangan. 


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Thursday, 25 July 2013

Quilling : Bunga Matahari Sangat Cantik...

Teks : Mariatul Qiptiyah

Bunga matahari sangat cantik
Kembang diwaktu pagi
Daunnya Hijau, Bunganya kuning
Memikat kumbang lalu..
Bunga Matahari sangat cantik
Dihalaman rumahku
Darinya pagi hingga ke petang
Tak jemuku memandang..



Salam 17 Ramadhan. Wah, tidak sabar rasanya menunggu masa balik kampung. Beruntunglah mereka yang tinggal berdekatan atau sememangnya tinggal di kampung. Namun, bagi orang yang jauh diperantauan macam saya, mood balik kampung berhari raya lebih nikmat terasa. Barulah lagu 'Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Sudirman terasa seronok dan bermakna di hati. 

Termasuk hari ini, tinggal lagi 6 hari saya akan mula bercuti dan pulang berhari raya. Berdebar juga memikirkan ini kali pertama Aidilfitri saya sebagai seorang isteri dan menantu. Tambah berdebar dan sedikit risau (takut sebenanrnya) apabila hari-hari persediaan sambutan hari raya dan Hari Raya Pertama di rumah mertua di Pasir Mas. Saya masih belum biasakan diri dengan keluarga dan kampung di sebelah suami memandangkan kali pertama dan terakhir saya di rumah Mama (mak mertua) adalah ketika majlis perkahwinan kami 3 bulan lepas. Harapan saya semoga saya tidak terlalu kekok nanti. Sejujurnya, seronok dan teruja juga hendak merasa suasana berhari raya yang baru.

Bagi menambahkan keseronokkan dan keceriaan kita pagi ini, saya perkenalkan Si Bunga Matahari yang ceria. Saya namakan hasil seni quilling ini sebagai Quilling di dalam bingkai. Ianya sangat sesuai dijadikan buah tangan, hadiah harijadi, hadiah hari guru dan hiasan meja. Jika suka, boleh juga digantungkan sebagai hiasan di dinding. 


Bunga Matahari yang sentiasa kembang ceria

Bunga matahari ini dihasilkan dengan teknik quilling 3 lapisan
untuk memberikan imej 3D kepada bunga.

Unsur 3D menghasilkan imej bunga yang lebih hidup dan segar.

Bagaimana? Tentu anda sudah rasa lebih ceria dan teruja kan? Jika berminat, boleh hubungi terus saya di ruangan komen blog ini atau emel terus di mariatulqiptiyahmdsah@gmail.com. Warna-warna ceria kelopak bunga boleh diubah mengikut kesukaan anda. Ingin tahu apa lagi yang boleh dilakukan dengan Bunga Matahari ini? Kad Jemputan Kahwin!!! Tentu sanak-saudara dan rakan-rakan anda begitu teruja menerima kad undangan yang sangat unik dan istimewa ini. Apa lagi, mulalah berimaginasi dan saya boleh bantu anda menrealisasikan idea kretif anda. :)

Salam sayang, Salam Ramadhan.

Mariatul Qiptiyah

Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
"Sharing is caring"

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...