Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Friday, 11 July 2014

Ahli Keluarga Baru Kami ; Qaseh Ameerah Qaisara

Teks : Mariatul Qiptiyah Md Sah
Gambar : Koleksi peribadi dan Camora Art




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya doakan kalian semua baik-baik saja. Alhamdulillah, Alhamdulillah selesai sudah tempoh berpantang saya. Inilah sebabnya mengapa saya tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog ini. Diharapkan dikurniakan rezeki kesempatan dan idea untuk mengisi lebih perkongsian ilmu di blog ini kelak.

Cik Qaseh, beberapa jam selepas dilahirkan


Buat ketika ini, saya perkenalkan ahli keluarga kami yang baru, cahaya mata kami yang pertama iaitu Cik Qaseh  Ameerah  Qaisara. Cik Qaseh telah selamat dilahirkan pada jam 8.25 malam, 29 Mei 2014 yang lepas. Semoga kehadiran Cik Qaseh akan membawa kebahagian dan kegembiraan pada kami sekeluarga juga kepada rakan-rakan di sekeliling kami. Insyaallah.


Alhamdulillah, inilah jihad saya.



Papa yang gembira. 
Terima kasih kerana sentiasa ada menemani walau semasa saya sedang berjuang.


Koleksi gambar dari air tangan Camora Art

Tiada yang lebih teruja daripada seorang bonda yang begitu teringin si kecilnya kelihatan comel-comel saja dalam gambar. Apatah lagi gambar-gambar dengan gaya comel sebegini. Terima kasih Pn. Zara Haleena dan pasukan Camora Art yang datang ke rumah dan bertungkus-lumus bagi menghasilkan gambar-gambar Cik Qaseh yang sangat cantik. Alhamdulillah hasilnya sangat-sangat memuaskan hati hingga kami tidak jemu-jemu membelek setiap satunya. 

Buat kawan-kawan pembaca yang ingin dapatkan khidmat jurugambar professional sebegini, bolehlah hubungi Pn. Zara Haleena di talian 0133028810 atau layari laman FB Pn. Zara di Zara Haleena atau Camora Art

Sebut nama saya Maria Qiptiyah untuk diskaun istimewa. Hehehe. Insyaallah.






Bintang kecil dalam pembikinan. 
Untuk pengambaran bayi baru lahir, team Camora Art akan datang terus 
ke rumah kerana maklum akan keadaan ibu dan bayi dalam berpantang. 
Masa yang sesuai untuk mengambil gambar adalah dari hari pertama kelahiran 
hingga hari ke 10 kerana waktu ini bayi masih lembut dan mudah untuk digayakan.


 Salam Sayang,
Mariatul Qiptiyah Md Sah





******************************************************** 

 APA SEBENARNYA AKADEMI BEKERJA DI RUMAH ? 

Bergabung dengan kami 700 blog, 22 kelas online 12 guru dan 2 trainer kewangan bertugas. Akademi Bekerja Di Rumah menawarkan perkhidmatan seperti yang berikut : 

1. Kelas asas blog dan penulisan. 
2. Kelas asas blog, fan page dan mula bisnes. 
3. Kelas asas blog dan penulisan kreatif. 
4. Kelas beriklan mudah.my. 
5. Kelas borong telekung solat. 
6. Kelas penulisan ebook pertama. 
7. Pendaftaran Pengurus Online @ Rakan Niaga. 
8. Tempahan blog bisnes-siap 3 hari. 
9. Sewa ruang iklan. 
11. Kelas asas akaun wahm/ soho online/offline. 
11. Bengkel Branding Yourself & Business Strategies offline. 

Untuk mendaftar hubungi Pengurus Online ABDR Mariatul Qiptiyah Md Sah. Blog Panduan Kraf Riben dan Kertas : http://mariatulqiptiyah.blogspot.com/ 

Email mariatulqiptiyahmdsah@gmail.com 
Sms/Whatsapp 016-5534828

Friday, 7 February 2014

Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Mariatul Qiptiyah

Teks : Mariatul Qipityah



Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Alhamdulillah Allah panjangkan lagi usia saya hingga ke hari ini, Ulangtahun Kelahiran Saya ke 33. Sedar tak sedar masa berlalu dengan pantas, usia semakin bertambah, yang lain juga perlu ditambah-tambah. Ibadah perlu disemak-semak semula, cukupkah buat bekalan dunia akhirat nanti? Ilmu dan usaha perlu dipertingkatkan lagi. Tidak kan terhenti hingga ke hayat nanti, Insyaallah. Pokoknya, segala usaha perlu diteruskan untuk bahagia dunia dan bahagia akhirat kami sekeluarga. Moga-moga dilimpahi rahmat dan hidayat serta rahmat-Nya.

Alhamdulillah, Alhamdulillah. Ini adalah Ulangtahun Kelahiran pertama saya sebagai seorang isteri. Syukur tak terhingga dengan menyandang gelaran ini, terasa hidup semakin bermakna dan lengkap. Psssttt, pagi-pagi lagi suami sudah masuk ke dapur masakkan Nasi Kerabu. Sedap jugakan. Sudah memang kegemaran Encik Suami, skill memasaknya lebih dari saya. Alhamdulillah.

Tambah-tambah bermakna Hari Ulangtahun Kelahiran saya ini apabila saya bakal menjadi ibu. Pagi-pagi lagi Si Kecil sudah menendang-nendang dari dalam, bagaikan mengucapkan selamat buat Mommynya ini. Pagi-pagi lagi sudah buat Mommy tersenyum ye sayang. 

Tahun ini juga, Hari Ulangtahun Kelahiran saya yang pertama bersama Akademi Bekerja Di Rumah. Walau tidak pernah bersua, terasa bagaikan berada dalam sebuah keluarga besar yang selalu ada untuk saya. Alhamdulillah, semenjak bersama keluarga besar ini, terasa ilmu semakin bertambah, semangat untuk berusaha semakin berganda. Alhamdulillah inilah yang dikatakan rezeki Allah beri.

Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Mariatul Qiptiyah. Lebih usaha lagi selepas ini !

***********************


400 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut 

1. Kelas asas blog dan penulisan 
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes 
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
4. Kelas penulisan kreatif 
5.Kelas akaun bisnes wahm/soho, 

pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.

Thursday, 21 November 2013

Kemuliaan Ibu Mengandung Dalam Islam : Pengubat hati bakal bonda yang sedang mabuk

Teks : Mariatul Qiptiyah


Sedang saya khusyuk mencari-cari dan membaca ilmu pasal kehamilan dari internet, saya terjumpa dengan ini. Senarai Kemuliaan Ibu Mengandung Dalam Islam. Setelah membaca dan memahaminya, ia sangat-sangat membantu menyejukkan hati yang sedang gundah kerana mabuk hamil ni. 

Terkadang terlepas juga keluhan dari mulut saya bila rasa tak tertahan dengan mual-mual dan muntah-muntah ini. Syukur Alhamdulillah Encik Suami sangat-sangat membantu baik dari segi kerja-kerja rumah dan sokongan moral. 

Semua kerja rumah beliau yang  siapkan. Saya antara isteri yang bertuah dapat suami yang suka dan pandai memasak. Malah dia jauh lebih pandai dari saya. :) Balik dari kerja dan sampai ke rumah saja saya hanya mampu berbaring dan rehat saja. Tambah-tambah pula ketika Encik Suami memasak saya terpaksa berkurung di dalam bilik kerana tidak tahan dengan bau masakan. Jadi, saya hanya perlu fikirkan dan risaukan kandungan dan mabuk saya saja, tanpa memikirkan kerja-kerja rumah yang lain. 

Baiklah, semoga senarai kemuliaan di bawah dapat menyejukkan hati dan menguatkan semangat anda juga. Buat yang wanita, berbahagialah dengan kemuliaan yang dikurniaan buat kita. Buat yang lelaki, hiburkanlah hati isteri anda dengan kemuliaan-kemuliaan ini. Semoga hidup kita dilimpahi bahagia. Ameen.


KEMULIAAN IBU MENGANDUNG DALAM ISLAM
1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
2. Wanita yang hamil dapat pahala puasa disiang hari & pahala ibadat dimalam hari.
3. Wanita yang bersalin dapat pahala 70 thn solat & puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah bagi satu pahala haji.
4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin ia dikira sebagai mati syahid. …
5. Wanita yang beri minum susu badannya kepad anaknya akan dapat 1 pahala daripada tiap titik susu yang diberikannya.
6. Wanita yang beri minum susu badannya kepad anaknya yang menangis maka Allah beri pahala satu tahun pahala solat & puasa.
7. Kalau wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh 2 setengah tahun, maka malaikat dilangit khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.
8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit dapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.
9. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit akan di ampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya & bila dia hiburkan hati anaknya Allah beri 12 tahun pahala ibadat
Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah

Wednesday, 13 November 2013

Morning Sickness Dan Saya

Teks : Mariatul Qiptiyah


Pernah saya tanya, mengapa ianya dipanggil Morning Sickness sedangkan sakit mabuknya datang pagi, petang, siang dan malam? Seorang kawan beritahu ianya dipanggil Morning Sickness sebab melambangkan sakit mabuk di awal kehamilan. Jadi Morning di sini bermaksud awal. 

Hampir semua ibu-ibu hamil mengalami sakit mabuk ini terutamanya di awal kehamilan. Ada juga yang terpaksa menghadapi sakit mabuk ini sehingga melahirkan. Nauzubillahiminzaliq. 

Sudah beberapa kali saya melawat klinik memohon MC. Tiada ubat mana yang diberikan hanya ubat buang angin dan losyen kulit kerana satu badan alami ruam2 yg tidak kurang hebatnya. Hanya rehat sajalah yang doktor nasihatkan. Bak kata seorang doktor yang saya temui, beliau ada tema tersendiri untuk ibu-ibu hamil ini iaitu " Untuk Ibu Hamil, sekiranya ada apa-apapun, selagi boleh bertahanlah di situ". Maksudnya, selagi boleh, tak kira sakit apapun, atau tidak larat bagaimanapun, BERTAHANLAH!

Dalam keadaan ni, mulalah hati ini berkata-kata sendiri, alangkah mudahnya sekiranya saya sudah menjadi suri rumah atau WAHM sepenuh masa. Serba salah juga terpaksa mengambil cuti sakit kerap kalinya. Stress pun bertambah kerana bos sudah berbunyi. Terbayangkan wajah bos pun sudah stress jadinya. 

Sabarlah saya hendaknya. Seorang rakan sekerja kata " Tidak thrill lah mengandung tak morning sickness " 
Alahai, thrill tu thrill juga. Doa saya moga morning sickness ni segera berlalu. Doakan saya dan kandungan sihat sejahtera ya. Terima kasih semua.

Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah

Monday, 7 October 2013

Impian Tinggal di Rumah Sepenuh Masa

Teks : Mariatul Qiptiyah


sumber : Google Image

Assalamualaikum, semoga semuanya sihat-sihat belaka. Apa cerita 2-3 hari ini? Ada berita gembira? Yang terima berita duka harap bersabar dengan ujian Allah ini yer.

Alhamdulillah, hari ini sudah lebih kurang 2 minggu kami suami isteri terima berita gembira. 2 minggu yang lepas saya telah disahkan hamil 4 minggu. Minggu ini sudah 6 minggu. Syukur alhamdulillah. Tidak terkata bahagianya bila melihat kegembiraan di wajah Encik Suami ketika itu. Tergiang2 juga nada gembira kedua ibu kami bila kami khabarkan berita gembira ini. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami mohon dikurniakan cahaya mata untuk menggembirakan hati ibu bapa kami. Terutamanya mak ayah saya yang saya lihat begitu teringin menimang cucu. 

Dengan berita ini, dalam hati saya sudah mencongak-congak, berangan-angan yang impian saya untuk jadi Ibu dan Suri Rumah sepenuh masa hampir tercapai. Setelah berbincang dengan Encik Suami, dia hanya memberi jawapan "Tengoklah, nanti Kanda buat solat istikharah dulu". Gulp...terdiam juga saya mendengar jawapannya. Saya faham dengan keadaan kewangan dan perbelanjaan kami yang baru beberapa bulan berumahtangga ini, banyak yang masih belum stabil. Adakah impian saya untuk Bekerja Merangkap Ibu Sepenuh Masa Di Rumah akan tercapai? Mohon didoakan yer sahabat-sahabat dan pembaca sekalian. 

Ingin benar saya menjaga bakal anak-anak kami dengan tangan saya sendiri. Risau sungguh hati bila asyik terbaca dan terdengar berita-berita buruk berkenaan pusat-pusat jagaan dan pengasuh-pengasuh hingga membawa kematian kanak-kanak jagaannya. Mohon dijauhkanlah. Nauzubillah.....

Ameen...

Mariatul Qiptiyah

Monday, 16 September 2013

P.Ramlee The Tribute Concert : By Idris Sardi

Teks : Mariatul Qiptiyah 



Assalamualaikum. Apa khabar semua? Semoga sihat-sihat saja. Khabar Kuching minggu ini sibuknya luar biasa. Mata satu Malaysia sedang tertumpu ke Bumi Kenyalang sempena Jubli Emas Sarawak Merdeka Dalam Malaysia. Hari ini 16 September 2013, Hari Malaysia. Pelbagai acara yang diadakan sepanjang minggu ini seperti Majlis Doa Selamat di Masjid Negeri, Perarakan Bot Berhias di Water Front, Kuching, dan istiadat perarakan kontijen-kontijen pada pagi ini. Jangan terkejut acara-acara mengenang Allahyarham P.Ramlee ini juga termasuk dalam senarai aktiviti sempena Hari Malaysia ye. Khabarnya Ketua Menteri Sarawak amat meminati Seniman ini. 

Konsert ini berlangsung pada 13 September 2013 yang lepas di tempat yang sama teater P.Ramlee The Musical dipersembahkan iaitu di Borneo Convention Centre. Tiket adalah percuma namun orang ramai hendaklah dapatkannya terlebih dahulu di Rumah Sarawak. Dengar-dengarnya sebanyak 2000 tiket dikeluarkan untuk setiap satu acara. Konsert ini adalah konsert khas persembahan gesekkan biola oleh Idris Saidi diiringi oleh Kumpulan Okestra Sarawak.

Siapa Idris Saidi? Beliau adalah seorang pemain biola yang berasal daripada Jakarta, Indonesia. Mula bermain viola sejak berumur 9 tahun dan telah menjelajah seantero dunia dengan gesekan biolanya. Pada pendapat saya, persembahannya memang indah. Ditambah dengan 4 penyanyi latar utama iaitu 2 orang lelaki yang mempunyai suara saling tidak tumpah suara P.Ramlee dan 2 orang perempuan yang menyanyi ala-ala Saloma. Kagum seketika bagaimana mereka boleh mengalunkan suara sebegitu rupa. Secara keseluruhannya, konsert ini telah mengubat kekecewaan saya di P.Ramlee The Musical pada Selasa yang lepas. Saya juga gembira kerana dapat mengundang rakan sepejabat kami ; Kak Sabeth sekeluarga dan Aris serta isterinya Sarulina. Kalau persembahan malam ini turut mengecewakan seperti P.Ramlee The Musical tentu malu saya dibuatnya kerana kami yang beria-ia menjemput mereka.

Idris Saidi bersedia untuk persembahan. Dengan bangganya beliau berkain sarung iaitu setahu saya ia adalah pakaian tradisional mereka di Indonesia. 


Selepas konsert. Bergambar di hadapan pentas bersama Kak Sabeth dan anak bongsunya. 


Kekanda (Suami) sedang mengambil autograf Bapak Idris Saidi. Memang bapak ini sudah berusia kelihatannya. Umurnya sudah 75 tahun.

Bersama keluarga Kak Sabeth. 


Saya suka warna poster ini. Sama seperti warna tudung saya. 

Sampai sini saja dahulu yer. 
Salam Sayang, Sayang semua.

Mariatul Qiptiyah.



Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita "Sharing is caring"

Wednesday, 11 September 2013

P. Ramlee The Musical... Sayang Seribu Kali Sayang

Teks : Mariatul Qiptiyah

Nota : P. Ramlee The Musical di persembahkan di Borneo Convention Centre pada 10 September 2013

Assalamualaikum...

Saya kira ramai yang berminat dengan Seni Teater terutamanya yang saya kelaskan sebagai Persembahan Berkelas Tinggi seperti Puteri Gunung Ledang, Natrah dan P. Ramlee The Musical. Persembahan-persembahan seperti ini biasanya dipersembahkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Ada apa dengan cerita teater ini? Begini, sebaik saja keluar dari hutan belantara di Kepulauan Borneo (ada macam filem Indiana Jones tak?) dan pulang ke Kuching, kami ternampak iklan berkenaan persembahan 
P. Ramlee The Musical ini. Kami fikir ini adalah sesuatu yang jika boleh jangan dilepaskan. Ini adalah persembahan yang julung-julung kalinya diadakan di Bumi Kenyalang (pada pengetahuan saya). Iklannya kelihatan menarik, barisannya pelakonnya menarik, tiket percumanya lebih-lebih lagi menarik. Antara barisan pelakon utamanya adalah Tony Eusoff (P. Ramlee), Tiara Jacquelina (Norizan), Elly Mazlein (Saloma), Nadia Aqilah (Junaidah) dan Azrul Zaidi (Sukardi iaitu sahabat baik P. Ramlee)?

Teater ini memgisahkan perjalanan hidup P. Ramlee bermula dengan penyebabnya berhijrah ke Singapura meninggalkan Pulau Pinang dan cinta hatinya Azizah. Di sana dia bertemu dan berkahwin dengan Junaidah, anak seorang pelawak yang ditemuinya di Malay Film Production. Walaubagaimanapun Junaidah pergi meninggalkannya kerana tidak tahan cemburu akan kepopularan suaminya. Di saat ini hadir Norizan yang berkorban hidup sebagai suri di istana dengan memilih berdamping di samping P. Ramlee. Ternyata Norizan seorang yang pandai menguruskan suaminya terutama perjalanan kerjaya P. Ramlee. Bintang P. Ramlee semakin bergemerlapan dengan Norizan di sisinya. Terlalu sibuk dengan kerja hingga tidak pedulikan isterinya menyebabkan Norizan curang dan penyebab perpisahan mereka. Akhirnya babak "When Remy Met Sally" adalah saat-saat berputiknya cinta antara P. Ramlee dan Saloma yang akhirnya menyatukan mereka hingga ke akhir hayat P. Ramlee. Akhirnya adalah kisah saat-saat namanya mulai pudar dan dilupakan.

Owh di sini adalah saat-saat saya kehilangan idea untuk menaip. Jadi kita lihat saja gambar-gambar yang sempat saya ambil ya.

P. Ramlee The Musical..Yahoooo!!!

Beratur hingga ke luar pintu masuk Borneo Convention Centre lebih setengah jam lamanya. Saya lihat ramai peminat tegar P. Ramlee yang saya kira hampir sebaya dengannya terpaksa berdiri berbaris begitu lama.

Sudah nak mula. Teruja!

Erk, kecilnya! Kenapa nampak kepala saja? P. Ramlee tu pun nampak tinggi sebab dia berada di atas pentas babak 'Pesta Bukit Mertajam'. Jika tidak memang nampak kepala saja. Sungguh kecewa.

Patutlah pelakon-pelakonnya nampak kepala saja. Tiada pentas rupanya. Bagi persembahan bertaraf tinggi, perkara sebegini tidak patut terjadi. Memanglah tiketnya percuma tetapi......hummm, entahlah ya.

Penggunaan 'props' memang sangat mengkagumkan. Penonton bersorak kagum apabila kepala keretapi ini meluncur masuk ke 'pentas'.
Majalah lama terbitan Allahyarham sendiri adalah antara bahan-bahan yang dipamerkan di ruang legar. Kami mengunjungi pameran ini selepas Babak ke 2 persembahan bermula. Pada mulanya kami memutuskan untuk pulang saja selepas Babak Pertama kerana malam sudah lewat dan keseronokkan menonton jadi pudar disebabkan hanya nampak kepala pelakon yang tinggi-tinggi saja. Selain dari itu, sistem bunyinya sangat cemerlang.


Poster-poster lama filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee. Ketika ini, saya lihat ramai juga yang beransur pulang walau persembahan belum berakhir. Tidak kurang juga yang keluar berlegar-legar di luar dewan.



Hari sudah lewat malam. Kami mahu pulang. 13 Sept. 2013 nanti kami datang lagi untuk P. Ramlee The Tribute Concert oleh Idris Sardi. Semoga ia boleh mengubat kekecewaan malam ini.

Sampai sini saja dahulu ya. Salam Sayang...

Mariatul Qiptiyah.


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Monday, 15 July 2013

Thursday, 11 July 2013

Ramadhan dan Mengaji

Teks : Mariatul Qiptiyah



Selamat Sejahtera Semua....

Bersiaran dari rumah dalam keheningan pagi sementara menunggu azan Subuh selepas sahur tadi. Hari ini, Encik Suami rajin untuk bangun dan masak juadah bersahur. Kata Encik Suami, dia kasihan lihatkan saya tertidur lena keletihan. Jadi dibiarkan saja saya terus tidur sikit masa lagi. Syukur syukur, seorang sahabat berkata saya untung banyak perolehi suami yang ringan tulang dan pandai serba-serbi. :)

Alhamdulillah kita sudah memasuki hari ke 3 berpuasa di bulan Ramadhan. Semoga kita dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus menjalani ibadah puasa ini.

Bila tiba Ramadhan, ramailah yang mula mengaji atau membaca Al-Quran. Dan sejuklah mata memandang anak-anak kecil juga turut serta mengaji. Sejuklah perut ibu-ibu yang mengandungkannya.

Banyak juga masjid-masjid, institusi pendidikan dan masjid-masjid yang menganjurkan aktiviti tadarrus Al-Quran bagi mengimarahkan aktiviti ini. Saya juga tidak ketinggalan menyertai tadarrus di pejabat. Memang sangat seronok dapat mengaji beramai-ramai. Jika seronok dan bahagia ini boleh diibaratkan seperti bulan, maka apa yang saya rasa adalah bulan yang sedang mengambang penuh.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, terselit sebak dan sedih. Sebenarnya rasa ini sudah agak lama saya pendam. Hati sungguh sedih melihatkan rakan-rakan yang agak tidak fasih mengaji. Bukankah sepatutnya kebanyakkan dari kita ini boleh mengaji? Tetapi timbul tanda tanya dalam diri bila hanya kebanyakkannya adalah sebaliknya pula. Ada di antara mereka yang saya panggil makcik, malah ada yang sudah berstatus nenek. Para ibu apatah lagi ramainya. Mengapa? Mengapa jadi macam ni?

Bukanlah hendak membesar diri, tapi saya bersyukur sangat-sangat emak dan ayah amat menitik beratkan mengaji dan pembelajaran bacaan serta tajwid  sejak kami kecil lagi. Alhamdulillah, saya dapat mengaji dengan lebih lancar.

Keadaan ini membuatkan keinginan hati saya untuk menjadi WAHM semakin berkobar-kobar. Semakin menggebu-gebu. Ya Allah, saya berazam akan mendidik sendiri bakal anak-anak kami dari awal agar celik dan fasih Al-Quran. Janganlah Engkau biarkan daku lalai dan terlupa dalam mendidik anak-anak kami nanti sehingga menjadi sebegini.

Tidak sanggup rasanya bila membayangkan bakal anak-anak saya berada dalam keadaan tidak dapat membaca al-Quran. Terlalu takut. Tentunya mereka akan menuntut kepada kami ibu bapanya di akhirat nanti.

Alhamdulillah, saya lihat ramai ibu-ibu sekarang di kalangan rakan-rakan semakin menitik beratkan ilmu agama dan Al-Quran berbanding segelintir yang terlalu tertumpu kepada ilmu duniawi. Semoga semua ini memberi kesedaran dan semangat kepada kita untuk terus berusaha memperbaiki mutu diri dan keluarga seterusnya membangunkan ummah.

Salam Sayang dari saya di Bumi Kenyalang.

Mariatul Qiptiyah



"Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita"
"Sharing is caring"

Tuesday, 9 July 2013

Hari Pertama Ramadhan

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum.
Salam 1 Ramadhan semua.

Ada apa dengan Si Anak Panda ini ya? Ya, mungkin beginilah keadaan kita ketika hendak bangun sahurkan. Apatah lagi Ibu-ibu dan Isteri-isteri yang bangun terlebih awal untuk menyediakan juadah bersahur. Jangankan kata anda semua, saya sendiri pun beginilah keadaannya. 'Alarm' di telefon bimbit sudah diset lebih awal namun ntah kenapa saya tidak dengar. Alhamdulillah ada Encik Suami tolong kejutkan. Alahai, rasa macam baru saja lelapkan mata sudah kena bangun semula.

Namun sebalik semua ini, banyak nikmat yang tersirat ketika bangun sahur ini. Nikmat sahur berdua dan bekeluarga. Nikmat lebihan masa senggang untuk selesaikan banyak perkara. Alhamdulillah, selepas subuh dapatlah kami berdua mengaji dan semak bacaan al-Quran masing-masing. Sempena Ramadhan ni lebihkan sikit masa mengaji. Jika sebelum ini hanya selepas Maghrib, ketika Ramadhan ni dapatlah masa sikit selepas Subuh sebab tidak bersarapan.

Kata orang, sebelum buat sesuatu lebih seronok dan lebih jiwa jika kita ambil mood dulu. Sebelum buat sesuatu keputusan dan langkah besar eloklah penuhkan ilmu di dada dan kuatkan semangat. Ya, luang masa yang ada juga membolehkan saya membelek-belek e-Book Super WAHM Super Mom hasil air tangan Kak Masayu Ahmad. Sebelum benar-benar melaksanakan cita-cita saya untuk jadi Super WAHM, haruslah ambil mood dan semangat dulu. Semangat biar kental baru langkah jadi kemas. Tidak begitu semua?

Sejak menyertai Kelas Asas Blog Online anjuran sepupu saya, sifu Nisa Nuar, sedikit demi sedikit 'passion' atau minat mendalam kepada seni kraft kertas datang kembali. Setelah bertungkus-lumus dan bergelumang dengan riben dan kertas untuk persiapan majlis perkahwinan saya April 2013 yang lepas, saya ambil keputusan berehat seketika dari aktiviti seni kraf. Malangnya, bak kata orang besi kalau dibiarkan lama-lama jadi berkarat. Aduhai, jadi susah pula hendak dimulakan semula. Syukur, dengan menyertai kelas ini idea-idea mula tercetus. Minat sudah datang kembali. Bunga-bunga quilling sudah bercambah. Harap-harap jari ini masih boleh menggulung dan membentuk dengan semakin baik.

Begitulah minat dan kemahiran yang Allah anugerahkan kepada kita. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan nak dapat sagunya. Belakang parang pun boleh tajam jika diasah. Jika tidak mencuba manakan kita nak tahu apa kebolehan yang kita ada. Begitu juga jika tidak diamalkan tentu semakin lama semakin lupa. Sayangnya jika bakat yang ada tersia-sia begitu saja. :)

Akhir kata, Salam Sayang Salam Ramadhan buat semua.
Semoga seronok dan bahagia menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini. Bila seronok insyaallah kita kuat dan semangat melaksanakan segala ibadah.

Mariatul Qiptiyah





"Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita"
"Sharing is caring"

Monday, 8 July 2013

Salam Ramadhan.

Teks : Mariatul Qiptiyah




                                                                                                                                           
Sehari saja lagi kita bulan Ramadhan akan tiba. Bulan yang barakah. Bulan yang dinanti-nantikan.
Bulan yang penuh makna tersendiri bagi setiap dari kita. Seperti saya contohnya, Ramadhan kali ini adalah Ramadhan pertama sebagai seorang isteri. Seronoknya mula terasa. Setiap hari ada saja perkara berkaitan Ramadhan yang kami suami isteri bincangkan.

Hendak tarawikh di masjid mana? Hendak sediakan juadah apa untuk berbuka? Apa lauk kegemaran untuk juadah bersahur? Hendak membakar kuih raya bersama-sama. Dan macam-macam lagi.

Apapun, saya amat mengharapkan Ramadhan kali ni membawa lebih banyak kebahagiaan dan erti dalam hidup kami sekeluarga baik di dunia dan akhirat. Inilah peluang besar untuk kita peroleh pahala dan ganjaran sebanyak mungkin. Rebutlah, usahalah, rangkullah kenikmatan Ramadhan yang dikurniakan kepada kita ini.

Salam Sayang, Salam Ramadhan, Salam Ibadah...

Wassalam :)

Monday, 1 July 2013

Harga yang perlu saya bayar kerana bekerja.

Teks : Mariatul Qiptiyah

Sambungan Kisah Saya 10 Tahun Yang Lepas...

Menjadi seorang wanita bekerjaya memang jadi satu kebanggaan. Apatah lagi masih bujang. Bangga dipuji pandai berdikari dan hidup sendiri. Apatah lagi kerja saya menuntut saya berpindah jauh dari kampung halaman di Selatan atau 'hometown' saya di Kuala Lumpurs. Selepas bertugas di Kuala Lumpur selama 2 tahun, saya diarahkan berpindah ke Johor Bahru. Lima tahun di sana diarahkan pula bertugas ke Pulau Mutiara. Berpindahlah saya lagi. Baru 2 tahun di Pulau Pinang, sekali lagi saya diarahkan berpindah cuma kali ini lebih jauh dari biasa. Dalam sejarah 110 penubuhan Jabatan saya bertugas, ini kali pertama pegawai jabatan ini diarahkan bertugas ke Sarawak dan Sabah. Ya, akhirnya saya di sini, di Bumi Kenyalang. Sememangnya setiap yang terjadi itu ada hikmah di sebaliknya. Syukur alhamdulillah di sini saya bertemu dengan jodoh saya.

Pengalaman bekerja dan berpindah ke tempat yang jauh dari keluarga dan kampung halaman banyak mengajar saya erti ikatan kekeluargaan dan bersaudara. Bila tinggal jauh dari keluarga dan kampung, banyak yang saya ketinggalan. Majlis-majlis kahwin sepupu dan anak buah, kenduri kendara, cuti-cuti emak saya dengan keluarga makcik-makcik yang lain. Seringkali juga bila saya telefon emak, emak sudah berada di kampung berkumpul dengan saudara mara, atau berada di tempat2 percutian dengan adik-adik. Saya rasa sedih. Rasanya saya banyak ketinggalan segala keseronokkan bila sering tiada dengan mereka.


Selain itu, saya juga sering jadi yang paling lewat sampai bila ada kecemasan. Sekali seorang pakcik saya meninggal, kemudiannya 2 orang sepupu saya pula yang kembali ke rahmatullah. Ketiga-tiga kalinya saya lambat sampai ke kampung. Jenazah sudah selamat dikebumikan baru saya hendak sampai. Tidak dapat saya menatap wajah mereka buat kali terakhir. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam golongan yang diredhai Allah.

Kejadian-kejadian ini menyebabkan saya sering berfikir sendiri. INILAH HARGA YANG PERLU SAYA BAYAR KERANA PEKERJAAN INI. Di sebalik gaji dan kelebihan lain yang saya terima, ada yang lain pula terpaksa saya lepaskan. Jadi apa yang perlu saya lakukan agar perkara seperti ini tidak berterusan?

Saya mencuba bermacam-macam cara dan idea. Pelbagai perniagaan telah saya cuba. MLM, ejen insurans, berniaga terus, berniaga online pakaian kanak-kanak dan lain-lain. Hummm, nampaknya semuanya tidak menjadi lagi. Sehingga kini saya masih tercari-cari lagi jalan keluar saya. Saya tahu saya perlu buat sesuatu. Jauh di sudut hati saya tersimpan satu azam untuk berhenti kerja dan buat sesuatu yang membenarkan saya punya jadual waktu yang fleksibel untuk semua perkara. Namun, untuk merealisasikan impian berhenti kerja bukan satu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Tambahan pula masih ada lagi hutang-hutang yang perlu di lunaskan.

Alhamdulillah setelah berumahtangga, perkara ini saya bawa berbincang dengan suami. 'Proposal awal' kata saya. Reaksi suami ternyata seiring dengan hati saya. Kami bersetuju saya akan menjadi surirumah sepenuh masa satu hari nanti. Namun kami perlu lakukan pelbagai persediaan baik dari segi mental dan fizikal. Baik dari segi kewangan, rohani dan restu kedua ibu bapa kami. Saya perlu yakinkan kedua belah keluarga tiada apa yang rugi malahan menguntungkan. Saya juga tidak mahu terlalu membebankan suami dengan hutang-hutang dan perbelanjaan saya.

Satu hari hati saya terbuka untuk respon kepada seruan sepupu saya Nisa Nuar atau Khairunnisa Hamzara untuk mendapatkan bantuan dan berkongsi pengalamannya berhenti kerja seterusnya menjadi suri rumah sepenuh masa yang berjaya. Dari sifu saya yang comel dan ceria ini saya mula mengenali WAHM, SAHM dan SOHO. Darinya juga saya sedang mula mengikuti Kelas Asas Blog Online sebagai permulaan saya menjadikan cita-cita saya untuk menjadi Suri Rumah Sepenuh Masa Yang Superb satu realiti. Awalnya saya fikir, apa salahnya saya mencubakan. Insyaallah, mana tahu inilah jalannya. Chaiyo Mariatul Qiptiyah!!! Jangan berhenti berharap dan berusaha!!!

Sampai Bila Saya Nak Jadi Begini? Kisah saya 10 tahun yang lalu.

Teks : Mariatul Qiptiyah



10 tahun yang lepas, saya masih tidak tahu ke mana hala tuju hidup saya ketika itu. Yang ada hanyalah angan-angan untuk hidup senang dan bergembira.

Dengan latar belakang kelulusan Diploma Perhutanan yang saya ada, Alhamdulillah saya ditawarkan menjadi Kakitangan Kerajaan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Dalam hati berdebar-debar memikirkan inilah saat saya melangkah ke alam dewasa dan berdikari sepenuhnya. Selepas ini hidup saya semuanya terpulang kepada saya memandangkan saya sudah berkerjaya.

Pada masa itu, permulaan gaji yang saya terima tidak sampai RM1500.00 sebulan. Hidup di Kuala Lumpur sendirian benar-benar menguji kekuatan mental saya. Dengan gaji yang sebegitu serasanya tidak cukup. Rasanya sudah puas saya berjimat cermat. Sebelum hari gaji, saya sudah membuat kira-kira apa yang perlu dilunaskan setiap bulan. Sewa bilik, bayaran bulanan LRT, telefon, kad kredit, bil eletrik dan air. Itu senarai wajib saya. Setelah ditolak-tolak apa yang wajib, bakinya adalah untuk perbelanjaan makan minum dan tambang serta belanja sekiranya saya hendak pulang ke kampung. Apalah yang tinggal? Amaun baki yang tinggal selalunya membuatkan saya sedih dan sangat susah hati. Di mana cita-cita saya hendak memberikan wang kepada emak setiap bulan? Tiada yang dapat saya sisihkan untuk wang simpanan saya pula tu. 

Pernah saya mencuba menyimpan. Ikut kata emak, saya beli Sijil Simpanan Premium kerana dengan cara itu agak susah sikit saya hendak tunai dan gunakannya semula. Namun, tidak sampai akhir bulan saya kembali beratur di kaunter bank untuk tunaikannya semula kerana tidak cukup belanja. Bukan sekali dua juga kehabisan duit belanja sebelum sampai gaji seterusnya. Mujurlah saya menggunakan kad bulanan LRT untuk ke tempat kerja. Jadi jika tiada duit belanja makan pun saya masih boleh pergi kerja. Jika terlalu teruk, terpaksalah saya meminjam dari pakcik atau kawan-kawan pula. Tapi tiada sudahnya. Ibarat gali lubang tampal lubang juga.


Kenapa tidak minta saja dari mak ayah macam kawan-kawan yang lain? Bukan tidak ada kawan-kawan saya yang duit gajinya 100% untuk simpanan mereka dia saja. Yang lain masih dibiaya oleh mak ayah mereka seperti waktu belajar dahulu. Saya ini anak sulung dari 8 adik beradik. Masa itu, saya seorang yang sudah bekerja. Adik-adik yang lain masih belajar dan bersekolah. Tentu banyak belanja yang ayah saya perlu tanggung. Emak pula suri rumah sepenuh masa yang tiada pendapatan. Pernah sekali saya hulurkan sedikit duit pada emak namun mak tanya saya ada duit ke?. Emak suruh saya guna duit tu untuk belanja saya saja. Tidak dapat membantu emak dan ayah dengan duit yang banyak, apa yang saya mampu hanyalah dengan menjaga diri sendiri dan tidak minta duit ayah lagi. Belanja yang ayah terpaksa keluarkan untuk saya belajar dahulu bolehlah ayah gunakan untuk adik-adik pula.

Sejak itu, sering kali saya bertanya pada diri sendiri " Sampai bila saya nak jadi begini? " 
Sampai bila saya sentiasa tidak cukup duit begini? Tiap bulan pun begini. Rasanya macam tidak nampak jalan keluar dari masalah ini.

Di depan keluarga dan kawan-kawan saya pendamkan saja. Perit dan sedih saya tutup dengan ceria saya hinggakan kawan-kawan pejabat mengenali saya dengan watak ceria dan ramah. Sebaliknya saya masih tercari-cari hala tuju dan cara untuk keluar dari semua masalah ini. Namun dari hari ke sehari saya hanya mampu menunggu dan tetap juga jalani kehidupan saya selama bertahun-tahun itu dengan harapan satu kejaiban Tuhan akan terjadi dalam hidup saya.



Saturday, 29 June 2013

Kami TRW vs JDT

Teks : Mariatul Qiptiyah






Sudah beberapa kali rakan baik suami menjemput kami datang ke rumah bagi meraikan perkahwinan kami yang baru dilangsungkan April lepas. Namun beberapa kali itu jugalah terpaksa kami tangguh-tangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya, jemputan dapat kami penuhi lewat petang tadi.

Berbekalkan beberapa potong Roti Bawang Putih yang saya uli sendiri dan ketupat sotong air tangan suami. Ya, saya sangat bertuah kerana suami seorang yang amat meminati dan agak mahir dalam bidang masakan. Saya juga bersyukur suami ringan tulang sama-sama masuk ke dapur.

Kedatangan kami disambut meriah oleh Cik Din dan Kak Ayu serta anak-anaknya. Masing-masing sudah sedia menunggu untuk menjamu selera bersama kami. Wah, banyak sungguh hidangan yang disediakan oleh Kak Ayu. Paling menarik minat saya adalah Kek Coklat Cheese yang cantik lagi sedap ini. Jangan tak tahu semuanya Kak Ayu yang sediakan sendiri. Sejak mengenali Kak Ayu, saya mengkagumi bakat memasak Kak Ayu. Namun, bakatnya hanya terhad untuk hidangan keluarga dan rakan-rakan. Beliau mampu pergi jauh jika kena pada tempat dan caranya.

TRW vs JDT.  Itu yang tertera di atas kek bertemakan bola tersebut. Pada mulanya saya sangka kek tersebut adalah sempena perlawanan akhir Johan Era Piala FA di antara Johor dan Kelantan malam nanti. Kemudian saya tergelak kecil setelah menyedari antara lain maksud tulisan tersebut.

Suami saya berasal dari Pasir Emas, Kelantan. Saya pula berasal dari Batu Pahat, Johor. Kami berkenalan dan bertemu jodoh di Bumi Kenyalang ini. Kuasa Tuhan, rupanya jodoh kami bertemu di seberang laut ini. Subhanallah. Owh yer, berbalik kepada hal kek tadi, kebetulannya TRW vs JDT malam nanti ada kena mengena dengan kami. Simboliknya mungkin begitu.

Apapun, saya sangat berterima kasih kepada Cik Din dan Kak Ayu sekeluarga yang sudi menjemput dan meraikan kami. Sebenarnya jemputan ini di panggil Adat Jemput@Panggil Menantu di kalangan orang Kelantan. Saya akan menceritakan perihal Adat Jemput Menantu ini di entry yang lain. Sampai berjumpa lagi.

Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah



Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...