Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Thursday, 6 March 2014

Kisah Wanita 14 Anak dan Berniaga

Teks : Mariatul Qiptiyah Md Sah
Gambar : Google



Dalam pencarian saya mencari tukang urut dan penjaga semasa berpantang nanti, saya telah berkenalan lebih rapat dengan seorang pekerja pembersihan (cleaner) di pejabat saya. Saya panggil beliau Kak Nor. Semakin saya mengenali beliau semakin saya mengkagumi beliau.

Kak Nor baru berumur 37 tahun. Berasal dari Nilai, Negeri Sembilan dan sudah menetap di Sarawak dari kecil kerana diambil sebagai anak angkat oleh keluarga di Kuching ini. Beliau berkahwin pada usia 16 tahun iaitu usia normal untuk berkahwin bagi gadis-gadis di Sarawak.

Kagumnya saya bermula bila mengetahui beliau mempunyai 14 orang anak. 13 orang anak berada di bawah jagaan beliau manakala seorang anak lelakinya (lebih kurang 2 tahun) dizakatkan kepada sebuah keluarga yang tidak mempunyai anak. Saya tertarik dengan terma zakat anak di sini. Katanya bila anak lelakinya sudah ramai, kita zakatkan seorang buat keluarga yang masih belum mendapat rezeki zuriat. Mulianya hati Kak Nor.

Kak Nor membesar dan mendidik 13 orang anak-anaknya dengan baik sekali pada pandangan kami. Anak sulungnya berumur 22 tahun kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Pahang. Dengar-dengarnya ia adalah pencapaian yang luar biasa di kalangan orang kampung tempat Kak Nor tinggal.

Kak Nor bekerja sepenuh masa sebagai Pembersih Pejabat. Kak Nor juga merupakan Tukang Urut dan Penjaga ibu berpantang. Pernah saya katakan pada Encik Suami " Pengalaman Kak Nor memang tidak boleh disangkal lagi". Tersohornya kemahiran Kak Nor mengurut dan menjaga ibu mengandung dan berpantang hingga ke Semenanjung Malaysia. Baru tadi beliau berkongsi dengan saya akan dibawa ke Pahang bulan Jun nanti untuk mengurut dan menjaga ibu dan bayi di dalam pantang. Alhamdulillah, murah rezeki Kak Nor.

Owh, kekaguman saya tidak terhenti di situ. 

Kebetulan, kami akan pulang ke Kuala Lumpur sehari dua lagi. Bila sampai ke pengetahuan Kak Nor, terus dia minta tolong belikan keronsang di sana. Untuk berniaga katanya. Terbukalah cerita rupanya Kak Nor ini berniaga atau berdagang bermacam-macam benda. Bak kata orang, apa saja benda yang boleh didagangkan, akan didagangkannya demi untuk mencari rezeki membesarkan anak-anak.

Ada orang hantar kain, diniaganya kain. Ada keronsang dijualnya keronsang. Kadang-kadang Kak Nor ke kampung nelayan memborong hasil laut, dibungkusnya sekilo sekilo, didagangnya dari rumah ke rumah. Semasa bulan Ramadhan, ada orang buat kuih dan hantar pada Kak Nor minta jualkan, berjajalah Kak Nor dari rumah ke rumah. Pendek kata apa saja yang boleh dijual, akan dijualnya sampai habis.

Siang Kak Nor bekerja membersihkan pejabat, malam selepas selesai uruskan anak-anak Kak Nor keluar berniaga pula hingga tengah malam. Jika ada permintaan mengurut dan menjaga sepenuh masa ibu berpantang, Kak Nor berhenti kerja sekejap sebagai Pembersih Pejabat. Untung majikannya memahami.

Allahuakbar! Tabahnya Kak Nor. Mengerah tenaga dan mengental semangat demi keluarga.

Itu belum lagi kisah Kak Nor ditipu orang, pelanggan tidak membayar ansuran dan sebagainya. Namun, Kak Nor tetap terus berusaha. Tetap juga terus bercerita sambil tersenyum. Tidak sedikit pun terpancar riak keresahan dan kesusahan terpancar di wajah Kak Nor. Kak Nor tetap tersenyum.

Berkongsi kisah Kak Nor membakar semangat saya untuk terus berusaha dan berusaha. Baru beberapa bulan belajar berniaga, tidak laku-laku JANGAN PUTUS ASA. Teruskan lagi usaha. Sudah jatuh bangun lagi, berlari semula.

Itulah Kisah Kak Nor yang mempunyai 14 orang anak. Kak Nor tidak pandai IT, tidak pandai internet. Kak Nor terpaksa gigih keluar berniaga dari rumah ke rumah, dari kampung ke kampung juga hingga ke pedalaman sana. Kita ini pula sudah celik IT, sudah boleh membaca blog sudah ada ramai kawan dan kenalan di Facebook tanpa perlu keluar rumah pun. Apa kita tunggu lagi? Tak tercabarkah kita dengan Kak Nor?

Fikir-fikirkanlah.

Salam Sayang...
Mariatul Qiptiyah

******************************************


400 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. 

Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut 

1. Kelas asas blog dan penulisan 
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes 
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
4. Kelas penulisan kreatif 
5. Kelas akaun bisnes wahm/soho, 

pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.

Friday, 3 January 2014

Semangat Untuk Terus Menulis



Teks : Mariatul Qiptiyah
Gambar : Google

Seperti air laut yang ada pasang surutnya, mood menulis blog juga begitu. Ada ketika jika dibiarkan terlalu lama, idea menulis blog jadi tumpul dan gelap. Mulalah rasa bertangguh-tangguh dan malas menjengah apatah lagi menulis blog itu muncul.

Saya juga tidak terlepas dari pasang surut mood menulis tu. Pernah satu ketika hingga berbulan blog (blog lama) tinggal tak dikemaskini hingga bersawang. Teruk bukan. Agaknya sebab itulah pengunjung pun naik bosan untuk datang singgah membaca lagi. 

Ingin saya kongsikan dua (2) cerita pembaca blog saya untuk kekalkan semangat saya dan untuk pemberi semangat kepada kawan-kawan penulis untuk terus menulis. 

Cerita 1

Baru-baru ini saya terima satu komen dari seorang pembaca yang tidak saya sangka. Kakak ini rupanya pembaca setia dari blog lama saya. Ini komennya :-

"Assalam...akak mula follow blog awk dr kuingin terbang ke awan. Impressed sgt dgn diet atkin awak. Akak pun follow. Alhamdullillah, berjaya buang berat badan. Terima kasih atas info yg diberikan. Keep on writing. U have no idea on the positive effects it has on others"

Cerita 2.

Blog saya terdahulu (www.kuinginterbangkeawan.blogspot.com) adalah blog rojak. Saya menulis apa saja yang saya suka dan terlintas di kepala. Masa itu, saya baru mengenal dunia blogging. Hampir setiap hari saya akan kemaskini entry di blog. Ada saja yang hendak di ceritakan. Perasan macam ramai sungguh pembaca yang menunggu-nunggu entry dari saya. Kelakar bukan.

Namun hakikat yang saya nampak bukan begitu. Saya nampak tidak ramai pengunjung ke blog saya dulu. Komen pun amat sedikit. Jika ada satu komen pun yang muncul gembiranya bukan kepalang kerana ia menandakan ada orang membaca dan memberi perhatian pada entry dan blog saya.

Satu hari, saya terima komen dari seorang pembaca mengatakan beliau baru terjumpa blog saya. Beliau mengatakan penulisan saya sungguh seronok dibaca hinggakan beliau mencetak semua entry saya dari entry pertama hingga yang terkini pada masa itu. Tidak silap saya masa itu saya sudah berblog hampir 3 tahun dan beratus entry yang telah saya keluarkan. Terkesima saya sebentar. Tebal manalah cetakan blog saya tu yer? 




Dari cerita-cerita saya di atas, saya belajar dan terus bersemangat untuk terus menulis. Tiada komen di blog kita tak semestinya tiada pembaca. Kurang bilangan pengunjung juga tidak bermakna tiada yang membaca langsung. Kita juga tidak dapat menjangkakan sejauh mana penulisan blog kita memberi kesan kepada orang di luar sana. Yang penting kita kena pastikan arah blog kita sentiasa positif agak ia memberi impak yang baik walau tanpa kita sedari.

Berapa ramai di antara kita yang terus saja menekan papan kekunci bertanya pada Si Google jika timbul kemusykilan? Sayalah di antaranya. Antara jawapan-jawapan pilihan saya tentunya di blog-blog penulis yang berkongsikan pengalaman mereka sendiri. Tidak kisah apa jua topik. Dari masakan, tempat makan, membeli belah, kehamilan, percutian dan 1001 macam lagi kisah dan pengalaman. Jadi, teruskan usaha agar blog kita menjadi salah satu blog yang mampu memberikan jawapan dan ilmu kepada pembaca.

Buat diri saya sendiri dan kawan-kawan penulis semua....TERUSKANLAH MENULIS! Bak kata Sifu dan guru-guru Akademi Bekerja Di Rumah semua, pasangkan niat, tetapkan hati menulis blog untuk berkongsi ilmu dengan pembaca di luar sana. 

Ilmu yang bermanfaat adalah harta yang kekal bila kita pergi kelak. Insyaallah

Salam Sayang, 
Mariatul Qiptiyah Md Sah

**************************************************

350 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas.
 Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut

 1. Kelas asas blog dan penulisan 
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes 
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
 4. Kelas penulisan kreatif 
5. Kelas akaun bisnes wahm/soho, 

pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...