Showing posts with label Quilling Card. Show all posts
Showing posts with label Quilling Card. Show all posts

Monday, 10 November 2014

Kad Ucapan Quilling Bergambar : Selamat Hari Jadi Ibu

Teks : Mariatul Qiptiyah Md Sah





Untuk Ibu, kita sanggup buat apa saja. Apatah lagi di hari istimewanya. Hari Ulangtahun Kelahiran Ibu. Namun, sebagai manusia biasa ada juga batasannya. Hendak menghadirkan diri meraikan hari jadi ibu di sisi, jarak dan kekangan kerja membataskan.Tapi, ia tetap tidak menjadi halangan untuk meraikan. 




Ibu tidak mengharapkan wang ringgit dan harta benda dari anak-anak. Cukup secebis ingatan sudah amat menggembirakan. Nampak seakan tiada apa malah ada yang menganggap ianya hanya sekadar sekeping kad dan sepotong ayat. Tambahan ada yang sedikit lokek untuk mengeluarkan duit untuk kad istimewa seperti ini kerana jujur saya katakan kad-kad ucapan buatan tangan seperti ini bukan seringgit dua kerana banyak masa, tumpuan dan ketelitian perlu dicurahkan ke atas sekeping kad ini. Namun, apalah ertinya nilai wang itu jika nak dibandingkan dengan senyuman gembira seorang ibu. 





Alhamdulillah, dapat juga saya menyiapkan tempahan kad dari Cik Ain walaupun permintaannya dalam tempoh masa yang agak singkat. Tapi, demi untuk membantunya meraikan hari jadi ibunya, saya gigihkan jua. Kad bergambar ini adalah yang pertama saya hasilkan seumpamanya. Semoga Cik Ain berpuas hati dan Ibunya gembira menerima kad istimewa ingatan dari anaknya.

Terima kasih banyak buat Cik Ain kerana mempercayai saya bagi menghasilkan kad istimewa ini. 

Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran buat Ibu Cik Ain. Semoga dilimpahi Rahmat dan Keberkatan hingga ke Syurga.





Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah Md Sah

Blog @ FB : Panduan Kraf Riben dan Kertas 
Email mariatulqiptiyahmdsah@gmail.com 
Sms/Whatsapp 016-5534828

Monday, 10 February 2014

Kad Ulangtahun Perkahwinan : Shukri dan Susmaiza


Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah



Alhamdulillah, disuruh-Nya saya bercuti dan berehat di rumah saja semalam kerana perut kejang. Sejak hari Ahad lepas, kekejangan perut datang. Setelah dikaji-kaji rupanya ia adalah perkara biasa ketika hamil. Bila kandungan bertambah besar, otot-otot dan rangka mengembang untuk menampungnya. Tambahan dengan kekurangan kalsium dan garam, kekejangan akan menyerang. Alhamdulillah ia tidak terlalu teruk dan kerap. " Baby sayang, kamu sedang seronok berlompat bintangkah di dalam tu? " 


Owh yer, saya memang kurang benar minum susu. Hendak diamalkan minum susu kotak, tidak digalakkan oleh jururawat kerana tinggi gulanya. Hendak minum susu tepung saya tidak lalu pula. Saya ada terjumpa produk susu kambing Wildan pula. Sedang dalam usaha mendapatkannya. Harap-harap saya serasi dengannya. Demi si kecil di dalam perut ini kugagahkan jua.


Alahai, jauh benar dari topik kita ini pula. Alhamdulillah, kerana terpaksa bercuti, Encik Suami suruh saya duduk diam saja. Jadi, sambil duduk-duduk tu, dapatlah saya siapkan tempahan kad dari teman sekuliah saya dulu. 

Kad Ucapan Ulangtahun Perkahwinan mereka yang ke 7 katanya. Wah, sudah 7 tahun? Terasa bagai baru setahun dua kami meninggalkan zaman pelajar universiti dulu. Diam tak diam sudah lebih 10 tahun rupanya.

Setinggi-tinggi tahniah buat Susmaiza dan suaminya Shukri. Didoakan semoga kekal rukun bahagia hingga ke syurga. Semoga sentiasa dilimpahi rahmat dan rezeki dari Allah.

Semasa hendak pos kad ini tadi, Encik Suami kata "Kawan Dinda ini dah sambut ulangtahun mereka ke 7. Kita baru nak sampai setahun". Insyaallah Kanda, Insyaallah kita akan sampai nanti. Usia tidak penting, yang penting bahagia. 

Salam Sayang 
Mariatul Qiptiyah

**************************

400 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut 1. Kelas asas blog dan penulisan 2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes 3. Kelas belajar iklan mudah.my 4. Kelas penulisan kreatif 5. Kelas akaun bisnes wahm/soho, pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.

Friday, 31 January 2014

Kad Harijadi Quilling : Merah Jambu

Teks : Mariatul Qiptiyah Md Sah


Kembali kepada asas. Inilah jadinya bila sudah lama tidak ber'quilling'. Hampir tumpul minda ini jadinya. Puas dibelek-belek contoh yang ada. Puas dicuba-cuba segala macam cara. Tak juga jadi-jadi hasil quilling yang canggih. Akhirnya, kembali kepada bentuk-bentuk asas quilling sajalah jawabnya.



Ya, kad ucapan harijadi di atas dihasilkan dari gabungan bentuk-bentuk asas quilling. Bentuk-bentuknya mudah saja. Apa yang diperlukan hanya percubaan berkreatif dengan susunan dan pilihan warna. Alhamdulillah, berkat dorongan suami, siap juga kad ucapan harijadi penuh kasih sayang buat anak saudara yang jauh di Pulau Mutiara.


Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Ke Dua (2) Nur Alia Farahiya binti Zulhilmi. Semoga membesar jadi puteri kesayangan semua, jadi anak yang solehah dan berjaya dunia dan akhirat. :)

P/S : Insyaallah kad yang tidak seberapa ini akan dikirimkan minggu depan ya. Ceria-ceria selalu :) 




Nota : Tempahan kad ucapan quilling dibuka sekarang. 

******************************************
360 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut 

 1. Kelas asas blog dan penulisan
 2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes 
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
 4. Kelas penulisan kreatif 
5. Kelas akaun bisnes wahm/soho, 

pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.

Tuesday, 1 October 2013

Kad Ucapan Pengantin Baru

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum.

Lama juga rasanya saya tidak mengemaskini blog ini. Ada ketika terasa rindu juga. Kalau diikutkan rasa dan malas, mungkin akan terbbiar terus tak berusik. Syukur Alhamdulillah ada Sifu Khairunnisa dan kawan-kawan seperjuangan yang tidak henti memberi semangat sesama kami untuk terus menulis. Segan pula bila blog diam tidak dikemaskinikan. 

Owh yer, Selamat Pengantin Baru buat mereka yang baru melangsungkan perkahwinan. Zaman sekarang ini tidak macam dahulu. Sekarang bila-bila masa saja Majlis Perkahwinan boleh dijalankan. Tidak perlu menunggu cuti sekolah yang panjang. 

Tetamu selalunya akan hadir membawa hadiah buat pengantin dan ada juga yang memberikan duit bece'an buat ibu bapa pengantin. Bece'an adalah perkataan jawa yang bermaksud duit hadiah yang diberikan kepada tuan rumah. Atau nama lainnya Salam Keruk. Bagi yang lebih kreatif, ada yang mengirimkan kad ucapan istimewa buatan tangan teruatamnya untuk sahabat karib, adik beradik atau rakan sepejabat. Jika anda inginkan kelainan, boleh sahaja kirimkan kad ucapan quilling istimewa seperti ini. 

Kad ucapan Pengantin baru buat teman-teman sepejabat.

Tentu Si Pengantin Baru teruja menerima kad ucapan istimewa ini.
Ianya cantik diletakkan di atas meja untuk hiasan.

Mariatul Qiptiyah



Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
"Sharing is caring"

Sunday, 28 July 2013

Kad Ucapan Harijadi Quilling : Jauh di Mata Dekat Di Hati.

Teks : Mariatul Qiptiyah

Salam 19 Ramadhan. Selamat Berbuka semua. Buat kami di Bumi Kenyalang ini, alhamdulillah sudah selesai berbuka puasa. Malam ini berbukalah saya seorang diri. Petang tadi baru saja menghantar Encik Suami terbang ke Kuala Lumpur. Asalnya kami akan pulang bersama-sama hari Rabu nanti. Kita hanya mampu merancang Allah yang menentukan. Encik Suami perlu terbang pulang ke Kuala Lumpur lebih awal kerana panggilan tugas. Dan saya akan pulang sendiri nanti.

Di ambang saat-saat hendak berpisah sementara ini, hati terasa berat sekali. Jika boleh memang hendak turutkan saja Encik Suami sekali namun apakan daya saya juga terikat dengan kerja di sini. Cuti saya hanya akan bermula 2 hari lagi. Ini baru terpaksa berpisah 2-3 hari. Bagaimana kalau 2-3 tahun? Tidak sanggup rasanya. Kami ini penjawat awam persekutuan. Bila-bila masa salah seorang dari kami akan terima surat arahan berpindah ke mana-mana negeri seluruh Malaysia. Bagaimana jika itu terjadi? Keadaan ini dan memikirkan hal ini membuatkan tekad saya untuk menjadi seorang WAHM bertambah kuat. Insyaallah suatu hari nanti saya akan boleh mengikut Encik Suami ke mana saja. Jika tidak dapat pun itu adalah kerana perancangan dan persetujuan kami sendiri bukannya terpaksa kerana kekangan kerja begini. Ya Allah, makbulkanlah hajat hati kami ni. 

Sempena rasa rindu dan kasih sayang ini, saya ingin kongsikan Kad Ucapan Harijadi yang saya hasilkan sendiri buat Encik Suami pada tahun lepas. Sedikit unsur quilling diselitkan bagi menonjolkan sisi elegant kad. Cukup dengan latar kad yang bercorak timbul, kad ini tidak sarat. Amat sesuai untuk mereka yang bercitarasa tinggi dan ringkas.



Happy Birthday Kanda. 

Cinta Quilling. Ringkas dan Padat.

Dua rama-rama terbang berpasangan. 


Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...