Showing posts with label Perkongsian Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian Ilmu. Show all posts

Monday, 23 February 2015

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah

Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang.
sumber : koleksi peribadi


Menghasilkan kad ucapan sendiri adakalanya menemui jalan buntu. Ada ketika kita akan rasa seperti ada yang kurang atau kurang serinya. Kata orang kurang umpphh nya. Seperti kita memasak kurang garam dan rempahnya. Bagaimana kita hendak mengatasi keadaan seperti ini?

Tambahan aksesori manik-manik menambahkan lagi seri Buku Tamu saya


Pada ketika inilah kita perlu berfikir keluar sedikit daripada kotak. Kadang-kadang perlu berfikir luar dari kebiasaan kerja tangan kita. 

Aksesori tidak terhad kepada kecantikan dan dan bergaya diri sesorang saja. Aksesori juga boleh dipakaikan pada kad-kad ucapan atau produk hasil kreatif kita.

Ada pelbagai aksesori yang boleh digunakan malahan benda-benda terpakai dikeliling anda. Duduk tenang seketika, lihat sekeliling anda. Perhatikan, dan bayangkan apa juga benda-benda yang anda nampak sebagai aksesori kad ucapan anda.

Biasanya, saya menggunakan tali, butang, batuan manik-manik, riben dan juga pelbagai bentuk potongan kertas (pre-cut shape) sebagai aksesori kad-kad ucapan dan produk-produk kreatif saya. Tidak perlu banyak, ada masanya, sebiji dua butang sudah cukup menaikkan seri kad ucapan tersebut.

Walaupun sekecil manik mutiara ini, ia mampu melengkapkan kad ucapan kita.


Kita boleh cuba menggunakan aksesori-aksesori ini mengikut tema kad ucapan yang ingin kita hasilkan. Selain daripada aksesori-aksesori kad ucapan yang boleh dibeli di pasaran, kita boleh juga menggunakan barang-barang terpakai di sekeliling kita.

sumber : Google


Contohnya bagi kad ucapan Selamat Maju Jaya dalam peperiksaan, kita boleh ikat atau tampalkan sebatang pensel kontot. Kad Harijadi buat si dia yang gemar memasak atau makan, kita boleh selitkan sebatang sudu comel atau tampalkan kertas kek cawan berwarna-warni atau sepotong kayu manis dan bunga cengkih. Menarik tak?

sumber : Google


Boleh juga kita bereksperimentasi dengan setem-setem lama dan cebisan-cebisan kertas.Juga boleh digunakan benang-benang kait pelbagai warna, cebisan kain pelbagai corak. Tentu seronok dan kad ucapan kita pasti bertambah menarik. Ia juga menjadikan kad ucapan kita lebih unik dan lain dari yang lain.

Sumber : Google
 
Selamat Bereksperimentasi!

Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah Md Sah.

***********************

Insyaallah, Sedia menerima tempahan kad-kad ucapan, hiasan-hiasan quilling, bunga telur, gubahan dulang hantaran, buku tamu dan sebagainya. 

Hubungi saya di Email : mariatulqiptiyahmdsah@gmail.com 
Facebook penulis : maria qiptiyah 
Facebook blog : Panduan Kraf Riben dan Kertas atau tinggalkan komen di bawah entry. 
No. HP : 016 5534828 (Mohon Whatsapp/ Telegram/ SMS) Terima kasih.

Sunday, 23 November 2014

Buku Tamu Perkahwinan ( Wedding Guest Book)

Teks : Mariatul Qiptiyah Md Sah





Buku Tamu di majlis perkahwinan memang sudah lama diamalkan di kalangan pengantin di seluruh dunia. Di Malaysia, awal-awal dahulu Buku Tamu ini lebih terkenal di kalangan pengantin kaum Cina atau majlis perkahwinan yang diadakan di hotel-hotel. Namun, budaya buku tamu ini sudah mula menjadi pilihan pengantin-pengantin Melayu termasuk yang meraikan majlis perkahwinan di rumah. 



Selain daripada foto-foto, buku tamu berfungsi merakam kenangan-kenangan indah majlis perkahwinan kita dalam bentuk kata-kata. Melaluinya, tetamu berpeluang menyampaikan ucapan mereka sendiri kepada pengantin dan ia lebih bersifat peribadi. Selain itu, ia menjadi satu cara menyatakan kehadiran tetamu ke satu-satu majlis. Ini adalah kerana, dalam kesibukan dan kekalutan majlis, mungkin pengantin atau tuan rumah tidak perasan akan kehadiran seseorang tetamu. Malahan, ada tetamu yang segan atau tidak berkesempatan untuk datang dekat kepada pengantin.





Kesimpulannya, buku tamu boleh menjadi wadah perantara di antara tetamu-tetamu ini dengan pengantin itu sendiri.

Ianya tidak susah. Apa yang diperlukan hanya sebiji buku, pen dan meja untuk menulis. Terpulang kepada pengantin dan tuan rumah untuk menghias meja dan sudut tamu ini menjadi lebih cantik dan menarik.





Terdapat pelbagai jenis buku tamu boleh dipilih dan disediakan. Sama ada dihasilkan sendiri, membeli buku tamu siap di kedai-kedai buku atau menempah buku tamu buatan tangan untuk sentuhan lebih istimewa. 




Untuk bakal pengantin, apa kata anda cuba sediakan buku tamu di majlis perkahwinan anda kelak. Insyaallah, saya jamin ia akan menjadi satu kenangan indah untuk anda berdua nanti. Jangan bimbang, sebiji buku boleh digunakan untuk majlis kedua belah pihak. Malahan saya juga meminta sahabat dan tetamu saya di jamuan ketiga kami iaitu jamuan kecil-kecilan untuk kawan-kawan dan jiran yang tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan kami.

Salam Sayang,

Mariatul Qiptiyah Md Sah


******************************************************** 

 APA SEBENARNYA AKADEMI BEKERJA DI RUMAH ? 

Alhamdulillah atas segala nikmat rahmat kasih sayang-Nya, Bergabung dengan kami hampir 1000 blog, 22 kelas online 12 guru dan 2 trainer kewangan bertugas. 

Akademi Bekerja Di Rumah menawarkan perkhidmatan seperti yang berikut : 

1. Kelas asas blog dan penulisan. 
2. Kelas asas blog, fan page dan mula bisnes. 
3. Kelas asas blog dan penulisan kreatif. 
4. Kelas beriklan mudah.my. 
5. Kelas borong telekung solat. 
6. Kelas penulisan ebook pertama. 
7. Pendaftaran Pengurus Online @ Rakan Niaga. 
8. Tempahan blog bisnes-siap 3 hari. 
9. Sewa ruang iklan. 
11. Kelas asas akaun wahm/ soho online/offline. 
12. Bengkel Branding Yourself & Business Strategies offline. 

Untuk mendaftar hubungi Pengurus Online ABDR Mariatul Qiptiyah Md Sah. 
Blog Panduan Kraf Riben dan Kertas :http://mariatulqiptiyah.blogspot.com/
Email mariatulqiptiyahmdsah@gmail.com Sms/Whatsapp 016-5534828
FB : Maria Qiptiyah atau Panduan Kraf Riben dan Kertas

Tuesday, 1 April 2014

Mengapa Kita Perlu Pilih Untuk Berniaga? : Kisah Sekumpulan Semut dan Seekor Keldai

Teks : Mariatul Qiptiyah Md Sah
Rujukan : Majalah Inspirasi Kejayaan (ik) Isu 14/2013



Kisah sekumpulan semut dan seekor keldai pembawa barang.

Pada suatu hari, seekor keldai sedang berehat kerana kepenatan membawa barang majikannya yang amat membebankannya. Bebannya hanya sebesar setengah daripada punggungnya. Keldai hanya mengikut saja perintah tuannya tanpa banyak karenah walaupun sudah terlalu letih.

Keldai berasa sangat letih kerana terpaksa berjalan jauh membawa beban itu ditambah pula hari yang begitu panas terik. Nafasnya termengah-mengah dan mulutnya berbuih-buih.

Sedang ia berehat, lalu sekawan semut yang kelihatan sedang bernyanyi-nyanyi dengan gembira sambil membawa makanan. Keldai itu mula tertarik dan pelik melihat gelagat sekawan semut itu.

Sebaik saja menghampiri keldai, ketua semut itu bertanya kepada keldai,

" Hai keldai, apa yang sedang kami lakukan di sini? "

" Saya sedang berehat wahai semut, " jawab keldai tersebut.

" Kenapa kamu kelihatan begitu penat sekali? " Tanya semut lagi.

" Saya berasa begitu penat sekali kerana membawa beban barang ini, beban ini tidaklah sebesar badanku tapi tersangatlah membebankan bagiku, ' jawab keldai.

" Beban siapa yang kau bawa itu wahai sang keldai? "

Keldai menjawab, " Tuan saya yang punya. Dia yang sedang minum dan makan di bawah pohon di sebelah sana tu! "

Sang keldai berkata lagi, " Eh! kamu ini semua pula, kenapa nampak begitu gembira? Sedangkan kamu semua terpaksa mengangkat beban makanan yang besar-besar belaka? "

Semut menjawab, " Kami memang begini setiap hari. kami juga membawa beban yang berat bahkan lebih berat dari badan kami tetapi kami sangat gembira sekali. Tiada istilah penat bagi kami kerana kami sangat gembira melakukannya. "

" Mengapa boleh jadi begitu ya?" Tanya keldai kehairanan.

Ketua Semut diam sejenak lalu berkata; " Barangkali kerana kita mempunyai jurang perbezaan wahai sang keldai yang dihormati. "

" Apa bezanya sang semut? Saya lihat kita sama saja membawa bebanan masing-masing? " tanya keldai lagi.

Semut menjelaskan " Kamu membawa beban yang berat tetapi beban yang berat itu bukan kepunyaan kamu, tetapi tuan kamu yang sedang makan minum dan berehat-rehat di bawah pohon sana. Sedangkan kami semua membawa beban yang lebih besar daripada badan kami tetapi beban-beban ini adalah kepunyaan kami sendiri dan bukan tuan kami."

Keldai itu termangu-mangu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetap seekor keldai yang hanya pandai ikut arahan tuannya. Keldai masih lagi kehairanan memikirkan akan maksud kata-kata ketua semut tersebut.




Pada fikiran anda, apakah moral di sebalik kisah semut dan keldai ini?

Bersambung...



******************************************
500 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut 

 1. Kelas asas blog dan penulisan 
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes 
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
 4. Kelas penulisan kreatif 
5. Kelas akaun bisnes wahm/soho
6. Kelas Membuat E-Book

pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.

Wednesday, 25 December 2013

Suri Rumah Sepenuh Masa dan Kreativiti

Teks : Mariatul Qiptiyah 
Gambar : Google



Assalamualaikum 
Salam Sejahtera.

Salam kedinginan pagi ini. Hampir sepanjang masa Bumi Kuching ini disimbahi hujan walaupun hanya gerimis. Alhamdulillah, hujan nikmat dari Allah. Janganlah kita mengeluh takut-takut mendustakan nikmat Allah pula.

Apa yang saya ingin kongsikan hari ini, berkenaan suri rumah sepenuh masa yang tidak mempunyai pendapatan sampingan. Tidaklah saya hendak merendah-rendahkan golongan ini. Tinggi hormatnya saya pada mereka kerana tabah dan kuat menghadapi karenah keluarga sepenuh masa dan tinggal di rumah saja. Berbanding dengan kami suri rumah separuh masa ini, ada juga waktu untuk keluar bekerja dan bertemu kawan-kawan.

Awal perkahwinan lebih kurang beberapa bulan yang lepas, saya telah suarakan hasrat untuk menjadi suri rumah sepenuh masa kepada suami dan keluarga. Reaksi emak dan mama mertua telah saya duga. Rugi kata mereka, sudah belajar dan bekerja bergaji tinggi hendak berhenti pula. Jika duduk rumah saja siapa hendak bagi duit? Mereka memberi contoh beberapa orang yang mereka kenal, menjadi suri rumah sepenuh masa tanpa buat apa-apa untuk dapatkan pendapatan sampingan. Hanya harapkan suami bekerja menanggung semua.

Masa itu, saya sudah ada jawapan saya sendiri. Pada mereka saya terangkan, Insyaallah saya tidak akan duduk rumah saja-saja. Akan saya usahakan berniaga kecil-kecilan dengan kemahiran dan minat saya yang tak seberapa ini. Saya boleh membuat bunga telur, hantaran dan quilling dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, reda sedikit gusar dan pertanyaan mereka.

Memang ada ahli keluarga dan kawan-kawan yang sebegini, bergelar suri rumah sepenuh masa tanpa pendapatan. Ada juga yang pernah luahkan pada saya, cemburu melihat saya punya duit gaji sendiri berbanding dia yang hanya harapkan suami memberi. Maaf, saya tak kata suri rumah sepenuh masa sebegini hanya duduk bergoyang kaki saja di rumah. Saya maklum banyaknya kerja-kerja di rumah itu, malah tidak dapat pula berehat-rehat mencuri masa menghadapi karenah anak-anak.

Saya rasa, apa yang diperlukan adalah sedikit KREATIVITI. Kreatif dalam menjana pendapatan sampingan tanpa perlu keluar rumah. Setiap orang pasti ada hobi dan minatnya tersendiri. Dari terbiar dan terkubur begitu saja, lebih baik dimanfaatkan dan mendatangkan hasil. Tidak kurang juga suri rumah ini terdiri dari golongan yang terpelajar. Gunakanlah ilmu di dada untuk menjana wang tambahan. Kita boleh mengajar mengaji, buka kelas tusyen atau ambil upah menaip atau menterjemahkan buku atau artikel.

Saya kira zaman sekarang setiap rumah mempunyai talian internet. Nah, gunakan talian ini sebagai hubungan anda dengan dunia luar dan jana pendapatan melaluinya. Masing-masing juga sudah ada tablet atau telefon pintar serta punya kemudahan internet. Apa lagi, gunakan sebaiknya. Ada berjuta-juta ilmu yang boleh diperolehi dari internet. Tinggal sedikit usaha kita saja untuk dapatkannya. Saya sendiri belajar sedikit-demi sedikit tentang kraf riben dan kertas melalui internet. Kita boleh gunakan medium ini untuk penuhkan ilmu di dada, asah kemahiran dan seterusnya jana wang anda sendiri dari rumah. Mudah bukan?

Sibuk di rumah bukan alasan. Semua itu memerlukan kemahiran dan kreativiti kita untuk menyusun jadual kerja di rumah. Di Akademi Bekerja Di Rumah tidak kurang bilangannya suri rumah sepenuh masa dan bekerja dari rumah. Kalau mereka boleh berjaya, kenapa tidak kita? Tidak tahu caranya, usaha dan cari ilmu buat bekal nanti. Bahagia, selesa, duit dan ilmu tidak datang bergolek. 

Mulakan langkah anda hari ini. Usaha, yakin, istiqomah, Insyaallah berjaya!!!

Salam Sayang..

Mariatul Qiptiyah

******************************************************************
350 blog, 21 kelas, 13 guru online dedikasi bertugas. Alhamdulillah. Sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah melalui mana-mana kategori berikut

1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes
3. Kelas belajar iklan mudah.my 
4. Kelas penulisan kreatif

5. Kelas akaun bisnes wahm/soho, pendaftaran sudah dibuka,komen atau emel untuk keterangan lanjut.


Tuesday, 23 July 2013

Review : Kelas Asas Membuat Blog dan Penulisan

Teks : Mariatul Qiptiyah


Assalamualaikum. Salam 15 Ramadhan. Alhamdulillah, sudah separuh bulan kita menjalani ibadah puasa. Berpuasa di Bumi Kenyalang ini tidaklah seseronok berpuasa di Semenanjung Malaysia bagi orang yang berasal dari sana seperti saya. Di sini tiada Pasar Ramadhan seperti di Tanah Semenanjung sana. Pasar Ramadhan yang paling besar pun hanya ada lebih kurang 25-30 buah gerai saja. Selera mereka pula mungkin memang tidak sama dengan selera kita. Namun, inilah peluang untuk kita merasa dan menimba pengalaman di tempat orang. 

Pelbagai kenangan dan pengalaman dilalui, bagaimanakah anda mengabadikannya? Secara tradisionalnya, masih ramai yang menulis dan menyimpan diari berbentuk buku fizikal. Ramai juga yang sudah menaip dan menyimpannya di dalam jurnal online atau jurnal maya seperti blog. Blog pula ada bermacam-macam bentuk mengikut citarasa dan tujuan blog tersebut dibina. Ada blog berbentuk penulisan jurnal, ada blog bergambar, ada blog perniagaan, blog berita dan bermacam-macam lagi. 

Saya sendiri telah mula berblog sejak tahun 2003 lagi. Blog saya pada masa itu berbentuk jurnal online. Seronoknya dan teruja dengan blog, boleh dikatakan setiap hari saya mengemaskini isi blog saya. Tambah-tambah seronok bila ramai yang membaca dan komen posting-posting saya.Melalui blog juga saya mengenali ramai kawan-kawan baru. Melalui blog jugalah saya memperolehi banyak maklumat-maklumat, ilmu-ilmu dan berita-berita terkini seluruh dunia. Jika kena caranya, banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari blog dan internet ini.

Namun, hari demi hari saya kehilangan semangat dan momentum untuk terus menulis. Saya juga sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk saya mendapat lebih manfaat daripada blog saya ini. Saya lihat ramai yang sudah dapat menjadikan blog mereka sebagai satu pendapatan. Saya juga ingin seperti mereka. Tapi bagaimanakah caranya?

Tertarik dengan kehidupan berkeluarga dan gaya penulisan hebat sepupu saya Khairunnisa Hamzahara, saya cuba-cuba bertanya apa rahsianya. Syukur, Nisa tidak lokek ilmu, tanpa jemu dia terus menerangkan dan meyakinkan saya untuk menyertai Kelas Asas Membuat Blog dan Penulisan kendaliannya. Walaupun pada awalnya saya merasakan diri saya hebat dengan pengalaman hampir 10 tahun saya berblog, namun terdetik juga dalam hati "Apa salahnya saya mencuba. Kadang-kadang kita merasakan diri sudah betul tetapi sebaliknya masih ada ilmu-ilmu yang tidak saya ketahui. Sekiranya saya sudah cukup pandai, kenapa saya masih tidak maju-maju dan peroleh kejayaan seperti orang lain? SAYA MESTI BUAT SESUATU!!!" 

Alhamdulillah, Allah telah tunjukkan jalan bagi saya. Dengan nama Allah dan hasil perbincangan dengan suami, saya sertai kelas ini. Saya buka mata, hati dan berlapang dada menimba ilmu cara-cara berblog yang sepatutnya. Dalam kelas ini, saya diajar cara-cara membina dan menyusun blog dengan betul. Gaya penulisan yang betul, yang dapat menarik perhatian dan kepercayaan pembaca seterusnya pelanggan berpotensi bagi perniaagaan atas talian nanti. Blog yang disediakan adalah gerbang asas perniagaan atas talian kita nanti.

Pembelajaran dijalankan secara atas talian (online) sepenuhnya oleh Nisa. Sungguhpun selain saya terdapat ramai lagi rakan-rakan kelas yang lain, namun Nisa masih mampu mengendalikan kelas ini dengan baik. Segala tunjuk ajar, perkongsian ilmu dan penyelesaian masalah dilaksanakan dengan sangat baik. Komuniti kelas ini juga sangat bermanfaat sebagai komuniti asas yang menyokong padu kepada pembinaan dan pengembangan blog kita. Jadi, kita tidak keseorangan. Alhamdulillah saya telah perolehi semangat berblog saya semula malahan jauh lebih baik dan bermanfaat dari dahulu. Bukankah itu yang kita mahu? Supaya hari ini lebih baik dari semalam dan  esok lebih baik dari hari ini.

Sekiranya anda berminat, maklumat lanjut boleh didapati di blog adinda sepupu saya yang comel lagi berkaliber ini; Khairunnisa Hamzahara. Masih ada kekosongan untuk kelas lagi. Siapa cepat dia dapat tau. Ingat, lapangkan dada, buka mata dan minda untuk menimba ilmu. Insyaallah Allah tunjukkan dan permudahkan jalan kejayaan bagi kita. 

Kelas dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya mengikut keselesaan dan jadual masa pelajar itu sendiri. Tiada dateline, tiada kelas jadual tetap, tiada punchkad.

Pakej juga termasuk E-Book Super WAHM, Super Mom. Apa itu Super WAHM, Super Mom? Inilah cita-cita saya nanti. Banyak ilmu yang diperolehi dari E-book ini. Saya akan kongsikannya di entry akan datang. Nantikannya!

Tepat pada masanya.
Pakej tambahan E-book Panduan Mula Bisnes Butik ini sangat bersesuaian dengan saya yang baru mula berjinak memulakan perniagaan jubah sacara online. 


Jadi, apa anda tunggu lagi? Kita tak kan tahu arah mana hendak dituju selagi kita tidak mulakan langkah pertama kita. Tetapkan hati, fikirkan kejayaan yang kita impikan baik didunia mahupun diakhirat. Semua itu tidak datang bergolek. Usaha tangga jaya. Chaiyo!!!

Insyaallah.

Salam Sayang, Salam Ramadhan, Salam Kejayaan.

Mariatul Qiptiyah

Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita 
"Sharing is caring"

Wednesday, 17 July 2013

Perkongsian Tazkirah Ramadhan

Teks : Mariatul Qiptiyah



Assalamualaikum.

Alhamdulillah baru saja selesai hadiri majlis tazkirah Ramadhan di pejabat ini. Tahun ini masuk tahun ke dua pihak jabatan mengadakan sesi tazkirah Ramadhan untuk semua kakitangan. Tazkirah diberikan oleh Ustaz-ustaz jemputan dari masjid-masjid sekitar Kuching. Alhamdulillah, seronok sangat dapat hadir majlis-majlis ilmu macam ni dan tambah-tambah seronok saya tidak mengantuk malahan mudah untuk mendengar dan faham isi kandungan tazkirah tu. Bila kita tanamkan minat dalam diri, Alhamdulillah menjadi.

Bukan apa, saya ini dahulunya pantang kalau dengar sebarang ucapan awam ini. Baik ceramah, tazkirah ataupun ucapan-ucapan memang tidak lepas dari rasa mengantuk malahan tertidur.Malu pun ada, terasa rugi pun ada. Alhamdulillah sekarang sudah beransur pulih.

Dalam tazkirah Ramadhan hari ini, saya dapat beberapa ilmu baru. Suka saya nak kongsikan di sini moga-moga jadi ilmu yang bermanfaat. Insyaallah kan.

1. Ustaz tu dahulunya rabun. Sekarang beliau sudah tidak bercermin mata. Tipsnya, bila pergi ke Mekah untuk umrah atau haji, tatap Baitullah itu sepuas-puasnya, sedalam-dalamnya. Lagi, amalkan minum jus lobak merah setiap hari.

2. Petua untuk Ibu-ibu yang punya anak lambat jodoh. Caranya pada malam-malam hari, Ibu duduk@berdiri mengadap pintu atau tingkap yang terbuka atau tertutup. Kemudian baca Bismillahirrahmanirrahim 1000x, azan, doa selepas azan, BERDOA mohon anak dipertemukan jodoh, kemudian baca Surah Al-Kauthar sebanyak-banyaknya.

3. Ada 5 jenis pahala kehadiran Solat Jumaat.
a. Saf yang hadir pertama awal pahala menyamai nilai seekor unta (RM8,000.00)


b. Saf yang hadir kedua awal menyamai nilai seekor lembu (RM3,500)


c. Saf yang hadir ketiga awal menyamai nilai seekor kambing (RM800.00)


d. Saf yang hadir keempat awal menyamai nilai seekor ayam (RM20)


e. Saf yang hadir selepasnya (geng tangga masjid ni) menyamai nilai sebiji telur ayam.


Hasil bacaan di internet ada yang menyatakan turutan awal itu seperti berikut :-

a. 8.00-9.00 pagi
b. 9.00-10.00 pagi
c. 10.00-11.00 pagi
d. 11.00-12.00 tengahari
e. 12.00 tengahari - azan pertama.

4. Pahala solat berjemaah di masjid bukan saja 70 (pahala solat di bulan Ramadhan) x 27 (pahala solat berjemaah). Malahan didarabkan lagi dengan jumlah jemaah pula. Kalau di Masjidil Haram ada 1-2 juta jemaah. Subhanallah, banyaknya pahala.

5. Qada' Puasa Ibu Mengandung dan Ibu Menyusukan anak :-

a. Jika Ibu Mengandung tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya sendiri Ibu wajib Qada' puasa sahaja.
b. Jika Ibu Mengandung tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya dan bayi dalam kandungan, Ibu wajib Qada' puasa dan bayar fidyah.
c. Sekiranya Ibu Menyusukan anak tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya, ibu wajid Qada' puasa sahaja.
d. Dan sekiranya Ibu Menyusukan anak tidak berpuasa kerana bimbangkan keduanya, wajib ibu itu Qada' puasa dan bayar fidyah.

Semoga perkongsiam ilmu ini dapat beri manfaat pada kita.
Semoga terus seronok dan semangat beribadah di Ramadhan ini.
Salam Sayang, Salam Ramadhan.
Happy Fasting :)




Siapa sangka berkreativiti dapat menjana bahagia dan gembira dalam hidup kita
"Sharing is caring"

Aksesori Tambahan Tambah Seri Kad Ucapan

Teks : Mariatul Qiptiyah binti Md Sah Kad ucapan yang dditambah dengan aksesori rama-rama pre-cut, riben dan butang. sumber : kolek...